
NILAI, 12 Jun – Pelumba berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri menepati ramalan apabila meraih pingat emas bagi acara 1 kilometer ujian masa wanita elit pada Kejohanan Trek Kebangsaan dan Remaja Kebangsaan 2026.
- Mengalami cabaran awal, Nurul Izzah bangkit pada pusingan akhir dan anggap prestasi baik untuk peningkatan.
- Kejohanan menjadi medan terbaik bagi pelumba muda negeri mempamerkan keupayaan dan menambah persaingan buat pelumba negara.
- Fokus seterusnya tertumpu kepada persediaan Sukan Komanwel 2026, Sukan Asia 2026 serta misi kelayakan Kejohanan Dunia di China.
Pelumba Kedah itu mencatat masa 1 minit 7.900 saat mengatasi pencabar terdekatnya, Nur Alyssa Mohd Farid dari Johor yang ketinggalan 0.694 saat, sementara pingat gangsa milik Nurul Aliana Syafika Azizan yang mewakili Pulau Pinang.
“Memang sangat mencabar, kerana saya ketinggalan tiga pusingan awal dan saya bangkit semula pada pusingan akhir, jadi ianya baik untuk peningkatan prestasi saya dan saya pun tidak menjangka akan dapat pingat emas kerana saingan yang sengit,” katanya ketika ditemui selepas perlumbaan di Velodrom Nasional, Nilai di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, pelumba negara itu menyifatkan kejohanan berkenaan sebagai medan terbaik buat pelumba muda dari setiap negeri mempamerkan keupayaan masing-masing, selain berupaya memberikan persaingan baharu buat dirinya.
Mengulas mengenai perancangan seterusnya, Nurul Izzah menegaskan fokus dan sasaran utamanya kini terarah kepada persiapan menghadapi temasya Sukan Komanwel 2026 dan Sukan Asia 2026 selain misi memburu slot kelayakan ke Kejohanan Dunia yang dijadual berlangsung di China nanti.