Kerajaan negeri teliti status projek pembangunan tanah Taman Manggis – Chow Kon Yeow

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada sidang media selepas merasmikan pembukaan Galatek Technologies di Kawasan Perindustrian Perai / Foto RTM

PERAI, 12 Jun – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan mendapatkan penjelasan daripada pemaju berhubung status pembangunan di tapak Taman Manggis, George Town yang didakwa terbiar sejak sekian lama, walaupun telah dijual untuk tujuan pembangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan Negeri akan meneliti semula perjanjian penjualan tanah sebelum sebarang tindakan lanjut.
  • Kebenaran merancang pernah diluluskan tetapi tiada perkembangan pembangunan kelihatan di tapak.
  • Tanah telah dijual kepada syarikat berkaitan; pemilik berhak memulakan dan diminta menyiapkan projek.
  • Isu mendapat perhatian awam dan gesaan supaya jelas status serta tujuan peruntukan tanah, seperti kemudahan perubatan.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri juga akan meneliti semula perjanjian asal berkaitan penjualan tanah berkenaan sebelum sebarang tindakan lanjut dipertimbangkan.

Menurutnya, kebenaran merancang bagi projek tersebut pernah diluluskan sebelum ini, namun sehingga kini tiada perkembangan pembangunan yang dapat dilihat di tapak berkenaan.

“Tanah itu telah dijual kepada syarikat berkaitan, kita tiada makluman. Walaupun saya percaya kebenaran merancang telah diluluskan, tetapi projek ini kita tak nampak ada apa-apa perkembangan. Sebab tanah ini milikan mereka (pemaju) berhak mulakan (projek).

Kita (kerajaan negeri) memang nak mereka habiskan projek inilah. Sebab tujuan penjualan tanah itu iaitu bagi membangunkan sebuah kemudahan perubatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan pembukaan Galatek Technologies di Kawasan Perindustrian Perai, di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai gesaan Pengerusi Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) Pulau Pinang Oh Tong Keong yang meminta penjelasan kerajaan negeri berhubung status tanah berkenaan yang didakwanya masih terbiar dan gagal dibangunkan sebagai projek perumahan rakyat.

Menurutnya, sebarang tindakan susulan bagaimanapun perlu dibuat berdasarkan terma dan syarat yang terkandung dalam perjanjian asal.

Isu pembangunan Taman Manggis sebelum ini sering mendapat perhatian pelbagai pihak susulan status tanah berkenaan yang diperuntukkan bagi tujuan pembangunan kemudahan awam, namun projek yang dirancang masih belum menunjukkan kemajuan ketara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.