
KUALA LUMPUR, 12 Jun – Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan konsep penciptaan bersama, bagi memastikan kandungan tempatan dapat dimanfaatkan merentasi pelbagai platform penyiaran dan digital.
- Perubahan corak penggunaan media mengurangkan pendapatan pengiklanan tradisional, banyak berpindah ke platform media sosial.
- RTM perlu berkeanjalan untuk mengoptimumkan penggunaan kandungan supaya relevan pada platform digital dan capai penonton lebih luas.
- Perkembangan teknologi membawa cabaran industri kreatif termasuk risiko pengurangan peluang pekerjaan dalam beberapa bidang.
- Memperkenalkan Telemovie Hibrid menggabungkan kreativiti manusia dengan keupayaan AI dan merangka garis panduan penggunaan AI bertanggungjawab.
Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, pendekatan itu diperkenalkan bagi memastikan kandungan yang diperoleh RTM tidak hanya disimpan untuk siaran televisyen tradisional, sebaliknya dapat diperluaskan kepada pelbagai platform yang menjadi pilihan pengguna masa kini.
Menurutnya, perubahan corak penggunaan media dalam era digital memberi kesan langsung kepada industri penyiaran dan pembikin kandungan, khususnya dari segi pendapatan pengiklanan yang kini semakin beralih ke platform media sosial.
“Kepenggunaan media sudah nyata berubah dan impak langsungnya dapat dilihat terhadap perbelanjaan pengiklanan yang menjadi sumber pendapatan kepada pembuat kandungan serta syarikat media.
“Kebanyakan pengiklanan kini beralih ke media sosial seperti Facebook, YouTube, Threads, X dan TikTok yang bukan milik kita, dan di situ kita perlu faham bahawa RTM perlu mempunyai keanjalan untuk melihat bagaimana kandungan yang dihasilkan boleh dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak hanya disimpan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi Townhall Perolehan Program TV RTM Fasa 2 Tahun 2026 di Angkasapuri, hari ini.
Ashwad berkata, RTM perlu terus menyesuaikan diri dengan perubahan landskap media bagi memastikan kandungan yang diterbitkan kekal relevan serta mampu mencapai kelompok penonton yang lebih luas.
Pada masa sama, beliau mengakui perkembangan teknologi turut membawa cabaran tersendiri kepada industri kreatif termasuk risiko pengurangan peluang pekerjaan dalam beberapa bidang tertentu.
Sehubungan itu, katanya, RTM memperkenalkan konsep ‘Telemovie Hibrid’ yang menggabungkan kreativiti dan sentuhan manusia dengan keupayaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam proses penghasilan kandungan.
Menurut beliau, RTM kini sedang merangka garis panduan penggunaan AI dalam sektor penyiaran bagi memastikan teknologi tersebut digunakan secara bertanggungjawab, beretika dan selaras dengan keperluan industri.