Pelan jangka panjang penting lahir pelumba trek bertaraf dunia – Presiden SCA

Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 di Nilai, Negeri Sembilan/RTM

NILAI, 12 Jun- Pembangunan jangka panjang dan pendedahan perlumbaan berkualiti dikenal pasti sebagai elemen penting dalam usaha melahirkan pelumba berbasikal trek negara bertaraf dunia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenalpasti dan bina potensi golongan bawah 15 tahun untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.
  • Penganjuran perlumbaan bertaraf tinggi secara konsisten penting untuk pengalaman berlumba dan pembentukan taktikal pelumba muda.
  • Perancangan rapi serta pelan periodisasi berperingkat diperlukan untuk membina prestasi optimum dan pencapaian berterusan.

Pandangan itu dikongsi Presiden Persatuan Berbasikal Sarawak (SCA), Irawan Datu Sudarsono yang melihat kelompok pelumba bawah 15 tahun (U15) memiliki potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Irawan berkata penganjuran perlumbaan berkualiti secara konsisten termasuk Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan mampu membantu pelumba muda menimba pengalaman serta memperkukuh aspek taktikal dalam perlumbaan

“Mereka perlu lebih banyak perlumbaan bertaraf tinggi untuk memberikan pengalaman berlumba dan mencuba taktikal. Jika kejohanan seperti ini diteruskan, kita boleh melahirkan pelumba berkualiti seperti Datuk Mohd Azizulhasni Awang,” katanya.

Irawan bercakap demikian ketika ditemui pemberita di kejohanan berkenaan yang berlangsung di Velodrom Nasional Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, jurulatih berbasikal Sabah, Mohd Shariff Naharuddin menegaskan pembangunan atlet berprestasi tinggi memerlukan perancangan rapi dan tidak boleh dicapai dalam tempoh singkat.

Menurutnya, atlet perlu melalui fasa pembangunan berperingkat menerusi pelan periodisasi yang disusun berdasarkan sasaran kejohanan jangka panjang.

“Kita bukan melahirkan atlet menjadi juara dalam masa sehari atau sebulan, sebaliknya mereka perlu melalui fasa pembangunan yang panjang,” katanya.

Beliau berkata pendekatan berstruktur itu penting bagi memastikan setiap atlet mencapai tahap prestasi optimum berdasarkan perancangan jurulatih.

Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan 2026 yang berlangsung bermula 8 hingga 12 Jun di Velodrom Nasional Malaysia menjadi platform penting dalam mencungkil bakat baharu serta memperkukuh pembangunan sukan berbasikal negara.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.