
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Isu kemasukan dan penempatan etnik Rohingya di Malaysia memerlukan penyelesaian menyeluruh yang melibatkan kerjasama pelbagai pihak termasuk negara asal dan negara berkaitan, kata Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.
- Tugas tidak boleh dipikul oleh PDRM, APMM atau Imigresen sahaja.
- Penguatkuasaan melibatkan rantaian bermula di perairan, sempadan dan daratan, polis adalah pautan terakhir.
- Cadangan pusat penempatan pulau perlu perincian: pengurusan, pembiayaan, penempatan selepas saringan dan penerimaan negara ketiga.
- Operasi terhadap penempatan haram berterusan, pusat transit berisiko menjadi tarikan sindiket penyeludupan jika tidak diteliti.
Menurutnya, isu pelarian yang berlarutan sejak sekian lama tidak boleh dipikul oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) atau Jabatan Imigresen Malaysia semata-mata.
“Apabila melibatkan kemasukan pendatang tanpa izin, ia membabitkan keseluruhan rantaian penguatkuasaan bermula di perairan, sempadan dan daratan. Polis hanyalah pautan terakhir dalam rantaian tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Program Lawatan Hospital sempena Peringatan Hari Polis Ke-219 di Hospital Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani, Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini, hari ini.
Tan Sri Ayob berkata, dari aspek keselamatan dan jenayah, polis akan mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan, namun isu pelarian melibatkan cabaran yang lebih kompleks termasuk proses penghantaran pulang ke negara asal.
“Apabila mereka ditahan dan dikenakan tindakan, timbul persoalan ke mana mereka hendak dihantar. Sebab itu isu ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk negara asal dan negara-negara berkaitan,” katanya.
Beliau berkata, operasi penguatkuasaan terhadap penempatan haram termasuk yang melibatkan komuniti Rohingya terus dijalankan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, operasi terbaru di Flat Rancangan Sungai Tekali, Hulu Langat membawa kepada penahanan 42 individu, manakala Ketua Polis Daerah Kajang telah mengeluarkan kenyataan berhubung operasi tersebut pada 9 Jun lalu.
Mengulas cadangan mewujudkan pusat penempatan Rohingya di sebuah pulau berhampiran Laut Andaman, beliau berkata beberapa aspek penting perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Jika pusat seperti itu diwujudkan, siapa yang akan menguruskannya, siapa yang akan membiayainya dan ke mana mereka akan ditempatkan selepas proses saringan?
“Selain itu, adakah negara ketiga bersedia menerima mereka? Ini antara persoalan utama yang perlu dijawab sebelum cadangan itu dapat dilaksanakan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa kewujudan pusat transit khusus berpotensi menjadi faktor penarik kepada sindiket penyeludupan manusia sekiranya tidak diteliti secara menyeluruh.
Sehingga April lalu katanya, Malaysia menempatkan 219,472 pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), dengan 197,591 daripadanya warga Myanmar termasuk 128,200 etnik Rohingya.