
KUALA LUMPUR, 11 Jun – Lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Jepun minggu ini berjaya memperkukuh hubungan kedua-dua negara daripada kerjasama perdagangan kepada perkongsian strategik lebih menyeluruh.
- Hubungan memasuki fasa baharu melibatkan ekonomi, teknologi, tenaga, keselamatan maritim dan daya tahan kewangan.
- Perbincangan antara Datuk Seri Anwar dan Perdana Menteri Jepun membabitkan isu Laut China Selatan, Myanmar dan Asia Barat.
- Kerjasama APMM dan Pasukan Pengawal Pantai Jepun termasuk latihan bersama serta perkongsian maklumat bagi keselamatan perairan.
- Perkukuhan kerjasama kewangan menerusi penggunaan ringgit dan yen serta pembaharuan aturan pertukaran mata wang antara bank pusat.
Pengerusi Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa Malaysia (ISIS Malaysia), Datuk Prof. Dr. Mohd Faiz Abdullah berkata, Jepun kini melihat Asia Tenggara sebagai rakan strategik penting ketika landskap geopolitik dan ekonomi global berdepan ketidaktentuan.
“Hubungan kedua-dua negara yang sekian lama bertunjangkan pelaburan dan perindustrian kini memasuki fasa baharu merangkumi ekonomi, teknologi, tenaga, keselamatan maritim dan daya tahan kewangan,” katanya menerusi artikel bertajuk “Looking Straight as Japan Looks South” yang mengulas lawatan rasmi tersebut.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan pertemuan Datuk Seri Anwar dengan Perdana Menteri Jepun, Takaichi Sanae menjadi teras strategik lawatan berkenaan, dengan kedua-dua pemimpin turut membincangkan isu Laut China Selatan, Myanmar dan Asia Barat.
Jelasnya lagi, kerjasama antara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Pasukan Pengawal Pantai Jepun menerusi latihan bersama serta perkongsian maklumat mencerminkan kepentingan keselamatan perairan rantau ini.
Selain itu, kerjasama kewangan melalui penggunaan ringgit dan yen dalam perdagangan dua hala serta usaha memperbaharui aturan pertukaran mata wang antara bank pusat kedua-dua negara pula penting bagi meningkatkan daya tahan ekonomi.
Lawatan rasmi Perdana Menteri ke negara matahari terbit itu berlangsung selama tiga hari mulai 8 Jun.