
NILAI, 10 Jun – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, menolak sebarang cadangan untuk kembali menerajui Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
- Baginda mahukan jawatan Presiden FAM diberikan kepada generasi baharu.
- Kongres Pemilihan FAM pada September penting untuk tentukan hala tuju dan pemulihan pentadbiran badan induk itu.
- Audit AFC susulan peletakan jawatan Exco dan isu pemain digantung oleh FIFA menyorot kelemahan tadbir urus FAM.
Baginda sebaliknya berpandangan jawatan tertinggi badan induk bola sepak negara itu wajar diberikan kepada generasi baharu.
Baginda bertitah demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan mengisi jawatan Presiden FAM menjelang Kongres Pemilihan badan induk itu yang dijadualkan berlangsung pada September depan.
Dengan nada berseloroh, baginda menegaskan bahawa dirinya sudah tergolong dalam kelompok “orang lama”.
“Tidak payahlah saya. Saya sudah orang lama…bagi orang muda (bertanding Presiden FAM).
“Tanya menteri, terima kasih. Bagi orang muda,” titah baginda ketika ditemui pada Kejohanan Trek Kebangsaan 2026 di Velodrom Nasional, di sini, hari ini.
Kenyataan itu sekali gus memperjelas pendirian baginda bahawa tidak akan kembali memimpin FAM ketika badan induk berkenaan sedang melalui proses pembaharuan pentadbiran.
Untuk rekod, Al-Sultan Abdullah bukan nama asing dalam landskap bola sepak negara apabila pernah memegang jawatan Presiden FAM dari 2014 hingga 2017.
Kongres Pemilihan FAM yang dijangka berlangsung pada September depan menjadi antara agenda penting dalam menentukan hala tuju baharu badan induk itu, susulan beberapa perkembangan dalam struktur pentadbirannya sejak awal tahun ini.
Pada Januari lalu, barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif (Exco) FAM dilaporkan meletakkan jawatan secara beramai-ramai bagi memberi laluan kepada proses audit dalaman oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Audit tersebut dijalankan susulan isu melibatkan tujuh pemain kebangsaan yang dikenakan hukuman gantung oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didakwa terlibat dalam kes pemalsuan dokumen.
Kemelut itu mencetuskan pelbagai persoalan mengenai aspek tadbir urus dan pematuhan pentadbiran FAM, sehingga AFC campur tangan bagi menjalankan semakan menyeluruh terhadap struktur serta amalan pengurusan badan induk berkenaan.
Minggu lalu, Kongres Luar Biasa FAM diadakan bagi membolehkan AFC membentangkan hasil penemuan audit tersebut, sekali gus membuka jalan kepada proses pemilihan kepimpinan baharu.
Pemilihan yang bakal berlangsung pada September dijangka menjadi penentu hala tuju baharu FAM, khususnya dalam usaha memulihkan keyakinan pemegang taruh serta memperkukuh integriti pentadbiran bola sepak negara.