
KUALA LUMPUR, 10 Jun – Institut Sukan Negara (ISN) menjalin kerjasama strategik selama tiga tahun dengan Himalaya Sports bagi menyokong pembangunan atlet negara serta menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.
- Perkongsian awam-swasta mencerminkan komitmen bersama memperkasakan pembangunan sukan negara.
- Kerajaan tekankan pembangunan sukan memerlukan penglibatan sektor swasta, institusi pendidikan dan komuniti sukan.
- Kerjasama beri sokongan kewangan serta produk, dinilai dan dipantau pegawai pemakanan sukan bagi kesesuaian latihan dan pertandingan.
Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Dr P. Vellapandian, berkata perkongsian awam-swasta itu mencerminkan komitmen bersama kedua-dua pihak dalam memperkasakan pembangunan sukan negara.
“Kerajaan sentiasa percaya bahawa pembangunan sukan bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata. Kejayaan ekosistem sukan negara memerlukan penglibatan semua pihak termasuk sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan masyarakat serta komuniti sukan itu sendiri,” katanya.
Menurut beliau, perjanjian kerjasama tersebut dimeterai untuk tempoh tiga tahun dan memberi manfaat kepada ISN melalui sokongan kewangan serta produk yang boleh dimanfaatkan oleh atlet negara berdasarkan penilaian pakar pemakanan sukan.
“Kita mendapat manfaat melalui ISN dalam memperkasakan sukan, sama ada dalam bentuk kewangan dan juga produk yang akan digalakkan melalui pegawai pemakanan sukan ISN. Mereka akan menilai sama ada produk ini sesuai digunakan sebagai sebahagian daripada suplemen atlet ketika menjalani latihan,” katanya.
Beliau menambah, penggunaan produk berkenaan dalam kalangan atlet akan dipantau oleh pegawai pemakanan sukan ISN bagi memastikan ia memenuhi keperluan latihan serta pertandingan di peringkat tertinggi.
Terdahulu, majlis pemeteraian kerjasama itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Mordi Bimol di Institut Sukan Negara, di sini.