Siapakah pewaris ilmu Adat Perpatih?

Artis budaya Jabatan Kesenian dan Kebudayaan (JKKN) Negeri Sembilan memperagakan busana masyarakat Melayu Adat Perpatih di Negeri Sembilan/Fail BERNAMA

SAUDARA PENGARANG

RINGKASAN BERITA AI
  • Tanpa pemindahan ilmu yang berterusan, Adat Perpatih berisiko menjadi simbol tanpa kefahaman.
  • Bilangan tokoh adat dan pakar kian berkurangan, menimbulkan kebimbangan tentang pewarisan ilmu.
  • Institusi pendidikan, komuniti dan program pembelajaran perlu aktif memupuk pemahaman generasi muda terhadap adat.

Adat Perpatih sering dibincangkan sebagai warisan budaya yang menjadi identiti Negeri Sembilan. Sistem yang berasaskan tradisi Minangkabau ini terkenal dengan amalan musyawarah, struktur kepimpinan berlapis dan kedudukan wanita yang dihormati dalam masyarakat.

Namun, di sebalik perbincangan mengenai keunikan sistem tersebut, terdapat satu persoalan yang semakin mendesak untuk difikirkan bersama: siapakah yang akan mewarisi dan meneruskan ilmu Adat Perpatih pada masa hadapan?

Dalam era globalisasi dan perkembangan teknologi yang pesat, generasi muda semakin terdedah kepada pelbagai pengaruh baharu.

Perubahan gaya hidup, urbanisasi dan perkembangan media digital turut mengubah cara masyarakat berinteraksi dengan sejarah dan warisan budaya.

Akibatnya, ramai dalam kalangan generasi muda mengetahui kewujudan Adat Perpatih, tetapi tidak memahami falsafah, nilai dan sistem yang terkandung di dalamnya.

Keadaan ini perlu diberi perhatian kerana warisan budaya tidak akan dapat dipelihara hanya melalui penganjuran majlis adat atau sambutan tradisi semata-mata.

Sesuatu warisan hanya dapat terus hidup apabila ilmu, nilai dan kefahaman mengenainya berjaya dipindahkan daripada satu generasi kepada generasi yang lain.

Tanpa proses pemindahan ilmu tersebut, adat berisiko menjadi sekadar simbol yang dikenali tetapi tidak lagi difahami maknanya.

Lebih membimbangkan, semakin berkurangnya individu yang benar-benar menguasai ilmu berkaitan Adat Perpatih. Tokoh adat, sarjana dan individu yang telah lama mendalami sistem ini memainkan peranan penting sebagai penyimpan dan penyampai ilmu kepada masyarakat.

Namun, apabila golongan ini semakin berusia dan jumlah mereka semakin berkurangan, timbul persoalan tentang siapakah yang akan mengambil alih peranan tersebut pada masa hadapan.

Hakikatnya, kekuatan Adat Perpatih bukan sekadar terletak pada struktur sosial atau adat istiadat yang diamalkan, tetapi juga pada ilmu, nilai dan falsafah yang diwariskan merentasi generasi.

Sistem ini mengandungi pelbagai nilai yang masih relevan untuk masyarakat moden seperti amanah, tanggungjawab bersama, kesepakatan dalam membuat keputusan dan keseimbangan kuasa dalam kepimpinan.

Nilai-nilai ini boleh menjadi sumber rujukan penting dalam usaha membina masyarakat yang lebih inklusif, harmoni dan berdaya tahan.

Oleh itu, usaha memelihara Adat Perpatih perlu bergerak melangkaui pendekatan dokumentasi semata-mata.

Institusi pendidikan, universiti, organisasi masyarakat dan komuniti setempat boleh memainkan peranan yang lebih aktif melalui program pendidikan, penyelidikan, penerbitan, seminar dan aktiviti pembelajaran sepanjang hayat.

Pendekatan ini bukan sahaja membantu memelihara warisan budaya, malah membuka ruang kepada generasi muda untuk memahami kepentingan adat dalam konteks semasa.

Pada masa yang sama, generasi muda juga perlu melihat Adat Perpatih sebagai sumber ilmu yang bernilai, bukannya sekadar tinggalan sejarah. Memahami adat tidak bermaksud kembali kepada masa lalu, tetapi menghargai pengalaman dan kebijaksanaan yang diwariskan oleh generasi terdahulu untuk menghadapi cabaran masa kini.

Persoalan yang perlu direnungkan bukanlah sama ada Adat Perpatih masih relevan atau tidak. Sebagai sebahagian daripada institusi adat dan pemerintahan yang masih diiktiraf dalam Perlembagaan Negeri Sembilan, kewujudannya tidak menjadi persoalan.

Apa yang lebih penting ialah sejauh mana masyarakat, khususnya generasi muda, memahami falsafah, nilai dan sistem yang mendasarinya.

Tanpa pewarisan ilmu yang berterusan, warisan yang kaya dengan sejarah dan kebijaksanaan ini berisiko hanya dikenali pada nama tetapi semakin hilang daripada kefahaman masyarakat.

Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.


Dr. Nurul Afiqah Zulkifly
Pensyarah Kanan
Jabatan Pemajuan Profesional dan Pendidikan Lanjutan
Fakulti Pengajian Pendidikan
Universiti Putra Malaysia (UPM)
E-mel: nurulafiqah@upm.edu.my

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.