
SAUDARA PENGARANG,
- Universiti mesti melahirkan graduan yang tahu bila, mengapa dan bagaimana menggunakan AI, bukan sekadar pandai menggunakan alat teknologi.
- AI harus menjadi alat yang mengasah pemikiran kritis, bukan jalan pintas yang mematikan proses berfikir pelajar.
- Pensyarah kekal peneraju; tanggungjawab sahih kandungan, pentaksiran dan standard akademik mesti dipegang oleh pakar bidang.
- Integrasi AI perlu tujuan jelas: literasi dan etika diajar, pentaksiran diubah, serta akses teknologi dipastikan adil.
Kecerdasan buatan (AI) kini bukan lagi teknologi masa depan. Ia sudah berada dalam bilik kuliah, telefon pintar dan komputer riba mahasiswa. Pada 21 Julai lalu, Menteri Pendidikan Tinggi menegaskan integrasi AI dan teknologi baharu dalam pendidikan tinggi penting untuk membangunkan modal insan serta keupayaan intelektual dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga dilaporkan telah membangunkan pelan tindakan bagi tempoh 10 tahun, dari 2026 hingga 2035, dengan usaha mengimbangi kemajuan teknologi, pembangunan modal insan dan nilai moral.
Perkembangan ini membawa satu persoalan penting. Apakah universiti hanya mahu melahirkan graduan yang tahu menggunakan AI atau graduan yang tahu bila, mengapa dan bagaimana AI patut digunakan? Perbezaannya besar.
Hari ini, seorang mahasiswa boleh mendapatkan jawapan kepada soalan dalam beberapa saat. AI boleh membantu menyusun nota, menerangkan konsep sukar, menghasilkan soalan latihan dan memberi maklum balas segera.
Dalam bidang yang sarat dengan kandungan seperti perubatan, kejuruteraan atau sains, teknologi ini membuka ruang pembelajaran yang sebelum ini sukar dibayangkan. Namun, kemudahan itu juga membawa cabaran.
Bayangkan seorang pelajar duduk di meja belajar pada lewat malam dengan tugasan yang perlu dihantar keesokan harinya. Dengan beberapa arahan ringkas, AI boleh menghasilkan jawapan yang kelihatan lengkap dan meyakinkan.
Persoalannya, adakah pelajar itu benar-benar memahami apa yang dihantar? Di sinilah pendidikan tinggi perlu berhati-hati.
AI tidak sepatutnya menjadi jalan pintas yang mematikan proses berfikir. Sebaliknya, ia mesti menjadi alat yang mencabar pelajar untuk berfikir dengan lebih baik.
Dalam pendidikan perubatan, misalnya, seorang pelajar bukan sahaja perlu mengetahui jawapan yang betul, malah perlu memahami mengapa sesuatu diagnosis dibuat, menilai bukti, mengenal pasti kemungkinan kesilapan dan membuat pertimbangan berdasarkan keadaan pesakit.
AI boleh membantu proses itu, tetapi tidak boleh mengambil alih tanggungjawab intelektual dan moral seorang bakal doktor.
Prinsip yang sama terpakai dalam bidang lain. Seorang bakal jurutera perlu memahami risiko di sebalik sesuatu keputusan teknikal. Seorang guru perlu memahami manusia di hadapannya, bukan sekadar memahami data prestasi. Seorang peguam pula perlu menilai keadilan dan konteks, bukan hanya menerima teks yang dijana mesin.
Atas sebab itu, perbincangan mengenai AI di universiti tidak boleh berhenti pada persoalan aplikasi apa yang digunakan atau berapa banyak kursus AI diperkenalkan. Persoalan yang lebih besar ialah bagaimana teknologi itu benar-benar meningkatkan kualiti pembelajaran.
Kajian berkaitan kesan AI terhadap pasaran kerja Malaysia yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menganggarkan sekitar 1.58 juta pekerja boleh terdedah kepada kesan perubahan pekerjaan berkaitan AI menjelang 2026.
Pada masa yang sama, laporan pasaran buruh DOSM turut menekankan kepentingan kemahiran AI, kompetensi digital, pemikiran analitikal dan penyelesaian masalah dalam menghadapi perubahan dunia pekerjaan.
Hakikat ini menunjukkan tugas universiti semakin besar. Kita bukan sekadar perlu mengajar mahasiswa menggunakan teknologi, tetapi perlu membina manusia yang tidak mudah digantikan oleh teknologi.
Mereka perlu mampu berfikir secara kritis, membuat pertimbangan, berkomunikasi, bekerjasama, memahami etika dan bertanggungjawab terhadap keputusan yang dibuat. Justeru, integrasi AI dalam pendidikan tinggi perlu mempunyai tujuan yang jelas.
Pertama, setiap penggunaan AI perlu dipadankan dengan hasil pembelajaran kursus. Pensyarah perlu bertanya: Apakah kemahiran yang ingin dibina? Adakah AI membantu pelajar memahami konsep, berlatih membuat keputusan atau menerima maklum balas?
Teknologi mesti digunakan kerana ada keperluan pembelajaran, bukan semata-mata kerana ia sedang popular.
Kedua, pensyarah mesti kekal sebagai peneraju proses pendidikan. AI boleh menghasilkan kuiz, memberi cadangan atau menyediakan maklum balas awal. Namun, kesahihan kandungan, kualiti pentaksiran dan standard akademik perlu kekal di bawah tanggungjawab pendidik serta pakar bidang.
Ketiga, literasi AI perlu diajar bersama etika AI. Mahasiswa perlu tahu bahawa jawapan AI boleh salah, berat sebelah atau tidak lengkap. Oleh itu, mereka mesti dilatih menyemak fakta, menilai sumber, menjaga kerahsiaan data dan mengisytiharkan penggunaan AI apabila diperlukan.
Keempat, bentuk pentaksiran perlu berubah. Jika tugasan hanya meminta pelajar mengulang fakta, AI mungkin boleh melakukannya dengan mudah.
Universiti perlu memperbanyak pentaksiran berasaskan penyelesaian masalah, refleksi, pembentangan lisan, aplikasi dalam kes sebenar dan proses membuat keputusan.
Kelima, akses kepada teknologi perlu diberi perhatian. Jangan sampai mahasiswa yang mempunyai peranti yang lebih baik atau mampu membayar perkhidmatan AI premium mendapat kelebihan terlalu besar.
Institusi perlu menyediakan panduan, latihan dan akses yang lebih adil supaya transformasi digital tidak melebarkan jurang pendidikan.
Dalam semua usaha ini, tanggungjawab tidak boleh diletakkan di bahu mahasiswa sahaja. KPT perlu menyediakan hala tuju yang jelas. Universiti perlu membentuk dasar dan garis panduan yang praktikal.
Fakulti perlu menyesuaikan kurikulum, manakala pensyarah memerlukan latihan agar mereka bukan sekadar pengguna teknologi, tetapi mampu mereka bentuk pengalaman pembelajaran yang lebih bermakna.
Pada masa yang sama, industri dan badan profesional juga mempunyai peranan. Mereka perlu membantu universiti memahami kemahiran sebenar yang diperlukan apabila graduan memasuki dunia kerja yang semakin dipengaruhi automasi dan AI.
Namun, dalam keghairahan mengejar teknologi, satu perkara jangan dilupakan.
Universiti dibina untuk mendidik manusia
Komputer boleh menjadi semakin pantas. Algoritma boleh menjadi semakin pintar. AI mungkin mampu menjawab soalan yang hari ini mengambil masa berjam-jam untuk diselesaikan manusia. Namun, pendidikan bukan sekadar mencari jawapan paling pantas. Pendidikan mengajar manusia bertanya soalan yang betul.
Ia membentuk pertimbangan, nilai, empati dan keberanian untuk bertanggungjawab terhadap keputusan sendiri.
Justeru, kejayaan integrasi AI dalam pendidikan tinggi Malaysia kelak tidak sepatutnya diukur berdasarkan berapa banyak teknologi digunakan di kampus. Sebaliknya, ukurlah pada manusia yang kita lahirkan.
Jika graduan kita mampu menggunakan AI secara kritis tanpa kehilangan daya fikir, memanfaatkan teknologi tanpa mengabaikan etika dan bergerak bersama kemajuan tanpa kehilangan nilai kemanusiaan, ketika itulah transformasi pendidikan tinggi benar-benar membawa makna.
AI mungkin menjadi sebahagian daripada masa depan pendidikan. Tetapi manusia tetap perlu menentukan arah tujunya.
Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan mahu pun pendirian rasmi RTM.

Dr Azril Shahreez Abdul Ghani
Pensyarah Fisiologi dan Pendidikan Perubatan di Kulliyyah Perubatan
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
E-mel: azrilshahreez@iium.edu.my

Dr Azzahra Azhar
Pensyarah Perubatan dan Pakar Patologi
Fakulti Perubatan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA)
E-mel: azzahraazhar@unisza.edu.my