
KADUNA, 28 Julai – Sekurang-kurangnya 30 orang, termasuk wanita dan kanak-kanak, terbunuh dalam serangan kumpulan bersenjata di sebuah perkampungan pertanian di Kaduna, utara Nigeria, menurut penduduk dan pertubuhan hak asasi manusia Amnesty International.
- Penyerang menyerbu sebuah perkampungan pertanian, melepaskan tembakan dan membakar rumah serta premis perniagaan.
- Serangan berlarutan hampir tiga jam; penduduk melarikan diri, bersembunyi di semak, beberapa cedera kritikal dan masih dilaporkan hilang.
- Amnesty International mengutuk serangan, melaporkan pembunuhan kejam termasuk keluarga dibunuh dalam bilik tidur dan kekejaman terhadap kanak-kanak.
- Kerajaan perintahkan operasi keselamatan; SOKAPU memberi amaran peningkatan pembunuhan beramai-ramai, penculikan dan kemusnahan tanah, dipengaruhi perubahan iklim dan tekanan tanah.
Penduduk tempatan menyalahkan serangan yang berlaku sekitar tengah malam itu ke atas kumpulan penggembala ternakan yang disyaki menjadi dalang dalam episod keganasan terbaharu membabitkan konflik antara penternak dan petani.
Penyerang dilaporkan menyerbu Kampung Naridon, melepaskan tembakan secara rambang sebelum membakar rumah serta premis perniagaan.
Setiausaha kepada ketua kampung Dogon Rana berkata, setakat ini 30 mayat telah ditemukan, namun angka korban dijangka meningkat berikutan beberapa mangsa yang cedera masih berada dalam keadaan kritikal, selain terdapat penduduk yang masih dilaporkan hilang.
Seorang penduduk, Rubean James, berkata beliau bersama keluarganya berjaya melarikan diri melalui pintu belakang rumah sebelum bersembunyi di kawasan semak berhampiran.
“Selepas keadaan kembali reda pada waktu pagi, kami mendapati sekurang-kurangnya 31 penduduk terbunuh manakala ramai lagi cedera,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Barnabas Musa, berkata serangan itu berlarutan hampir tiga jam dengan sekurang-kurangnya 30 mayat berjaya dikumpulkan, termasuk wanita dan kanak-kanak.
Amnesty International mengutuk keras serangan itu dan menyifatkannya antara serangan paling dahsyat pernah berlaku di perkampungan selatan Kaduna.
“Imej yang diperoleh menunjukkan seluruh keluarga dibunuh di dalam bilik tidur masing-masing, termasuk kanak-kanak yang dikelar dan mengalami kecederaan parah di kepala,” menurut pertubuhan itu.
Seorang pemimpin komuniti, Yunusa Babados, berkata penyerang menceroboh rumah penduduk dan membunuh enam kanak-kanak daripada sebuah keluarga.
Beliau mendakwa penyerang memberitahu ibu bapa mangsa bahawa mereka akan dibiarkan hidup, tetapi semua anak mereka dibunuh.
Secara keseluruhan, lapan kanak-kanak disahkan terbunuh dalam serangan itu.
Menurut penduduk, kumpulan penyerang melarikan diri ke kawasan semak berhampiran sebaik pasukan keselamatan menghampiri lokasi kejadian, dengan beberapa ekor lembu ditinggalkan di pinggir kampung.
Susulan insiden itu, pertubuhan Southern Kaduna Peoples’ United Associations (SOKAPU) memberi amaran bahawa peningkatan kes pembunuhan beramai-ramai, penculikan dan kemusnahan tanah pertanian sedang mengancam komuniti luar bandar di kawasan berkenaan.
Kerajaan negeri Kaduna pula mengarahkan pasukan keselamatan mempergiat operasi bagi mengesan dan menangkap semua pihak yang bertanggungjawab.
Konflik di utara dan barat laut Nigeria sejak sekian lama berpunca daripada pertikaian tanah antara penggembala nomad dan petani, namun perubahan iklim, kemarau serta tekanan terhadap kawasan ragut dan pertanian dipercayai memburukkan lagi ketegangan tersebut. – AFP