ASEAN ‘pelabuhan selamat’ di tengah-tengah ketidakpastian dunia – Marcos

Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. (tengah) bersama-sama pemimpin utama negara-negara ASEAN pada majlis pembukaan Persidangan ASEAN ke-48 di Cebu, Filipina pada Mei lalu./ REUTERS

MANILA, 27 Julai – Presiden Ferdinand R. Marcos Jr. pada Isnin menyifatkan ASEAN sebagai “pelabuhan selamat” bagi Filipina di tengah-tengah ketegangan geopolitik dan ketidakpastian global yang kian meningkat, sekali gus menonjolkan peranan blok itu dalam memperkukuh keselamatan serantau serta daya tahan makanan dan tenaga, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).

RINGKASAN BERITA AI
  • ASEAN memperkukuh keselamatan serantau dan daya tahan makanan serta tenaga melalui tindakan kolektif.
  • Filipina promosikan Simpanan Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga untuk jamin bekalan beras semasa kekurangan pengeluaran domestik.
  • Rangka Kerja Ekonomi Digital dan Perjanjian Keselamatan Petroleum memperluaskan transaksi digital, kewangan inklusif dan keselamatan tenaga serantau.

Dalam Perutusan Negara (SONA) kelimanya, Marcos berkata ASEAN telah menjadi rakan kongsi serantau paling boleh diharap ketika Filipina mendepani cabaran keselamatan dan ekonomi yang semakin kompleks.

“Kita tidak perlu mencari atau berlayar jauh untuk menemui sekutu yang boleh diharap. ASEAN ialah pelabuhan selamat kita, tempat kita bertukar-tukar bukan sahaja kedudukan yang berhampiran tetapi juga kesamaan,” katanya.

Presiden menggunakan sebahagian daripada perutusannya bagi menonjolkan pencapaian Kepengerusian ASEAN 2026 oleh Filipina, dengan menyatakan bahawa negara itu mendorong solidariti yang lebih kukuh dalam kalangan negara anggota di samping bertindak balas terhadap isu-isu mendesak di peringkat serantau dan global.

“Sepanjang kepengerusian kami dalam Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, kami telah memperjuangkan solidariti dan kerjasama yang lebih erat dalam kalangan Negara Anggota ASEAN,” kata Marcos.

Beliau berkata ASEAN bekerja secara kolektif untuk mengurangkan impak konflik yang sedang berlanjutan di Asia Barat serta memperkasakan keupayaan rantau ini dalam mendepani kejutan luar.

“Bersama-sama, kita telah menemukan jalan untuk meringankan kesan buruk akibat peperangan di Asia Barat,” katanya.

Menerusi ASEAN yang bersatu dan rangkaian luasnya yang kukuh, kita telah mencapai keselamatan serta daya tahan yang lebih tinggi – sebagai sebuah rantau dan sebagai negara individu – yang lebih berkeupayaan mendepani sebarang gangguan,” katanya.

Marcos memetik beberapa hasil konkrit yang dicapai di bawah kepengerusian Filipina, termasuk pengeroperasian Simpanan Beras Kecemasan ASEAN Campur Tiga, yang menurutnya akan menjamin bekalan beras kecemasan semasa berlaku kekurangan pengeluaran domestik.

Beliau turut menyorot Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN yang diterajui oleh Filipina, dengan menyatakan bahawa ia akan menyelaraskan peraturan digital di seluruh Asia Tenggara, memudah cara transaksi digital rentas sempadan, memperluas teknologi kewangan serta perbankan digital, dan meningkatkan rangkuman kewangan, terutamanya untuk perniagaan kecil.

Presiden juga menunjuk kepada ratifikasi Perjanjian Rangka Kerja mengenai Keselamatan Petroleum ASEAN, yang memperuntukkan simpanan bersama rizab petroleum dalam kalangan negara anggotanya bagi memperkasakan keselamatan tenaga serantau.

Marcos turut menegaskan kesediaan Filipina untuk menyumbang kepada Grid Kuasa ASEAN yang direncana sejak sekian lama, sambil memaklumkan bahawa grid pulau-pulau utama negara itu kini saling terhubung sepenuhnya.

“Kini selepas grid Luzon, Visayas dan Mindanao kita terhubung sepenuhnya – kita berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berhubung dengan negara jiran bagi membantu merealisasikan Grid Kuasa ASEAN,” katanya.

Semasa menggesa kerjasama rantau yang lebih kukuh, Marcos menyamakan solidariti ASEAN dengan semangat “bayanihan” (gotong-royong) rakyat Filipina.

“Ini ialah ‘bayanihan’ untuk komuniti antarabangsa dan untuk bahagian dunia ini,” katanya dengan disambut tepukan gemuruh.

Presiden itu turut mengulangi rayuan Filipina untuk mewujudkan kedamaian di tengah-tengah konflik bersenjata yang sedang berlaku di seluruh dunia.

“Dan yang lebih penting, kami di ASEAN, menyertai seluruh rakyat Filipina yang secara semula jadinya cintakan kedamaian, sekali lagi menyuarakan rayuan kami agar konflik berdarah ini ditamatkan.”

Kami merayu kepada semua pihak untuk semangat kemasyarakatan yang lebih tinggi: untuk kembali ke meja rundingan, berbekalkan hanya keinginan tulus untuk kedamaian dan kebiasaan. Diplomasi sejati membina, manakala konflik berdarah hanya memusnahkan,” katanya.

Marcos mengakhiri segmen itu dengan menegaskan bahawa kedamaian berkekalan kekal menjadi asas penting kepada pembangunan.

“Keamanan dan ketenteraman adalah asas keselamatan – untuk negara kita, rantau kita dan dunia,” katanya. – BERNAMA-PNA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.