Serangan dihenti sementara, beri laluan kepada rundingan damai – Trump

Foto REUTERS

WASHINGTON, 28 Julai – Amerika Syarikat (AS) dan Iran dilaporkan menghentikan sementara serangan ketenteraan selepas hampir dua minggu konflik, bagi memberi ruang kepada usaha diplomatik meneruskan rundingan damai.

RINGKASAN BERITA AI
  • Trump: AS mempunyai bekalan peluru dan persenjataan mencukupi, menolak kekurangan stok.
  • Beliau dakwa pentadbiran terdahulu beri banyak bantuan ketenteraan ke Ukraine, AS sedang menambah semula stok.
  • Iran nafikan persetujuan gencatan senjata 10 hari; tidak runding terus dengan AS, hanya berbincang dengan Oman.
  • Harga minyak jatuh lebih tujuh peratus memberi sentimen positif; penganalisis kata prospek keamanan jangka panjang masih rapuh.

Presiden AS, Donald Trump berkata, Washington masih mempunyai bekalan peluru dan persenjataan yang mencukupi, sekali gus menolak kebimbangan bahawa stok senjata negara itu semakin berkurangan.

“Kami mempunyai banyak peluru daripada pelbagai jenis, termasuk bekalan yang mencukupi untuk keperluan semasa,” katanya kepada pemberita ketika dalam penerbangan ke Michigan.

Beliau bagaimanapun mendakwa pentadbiran terdahulu telah menyalurkan sejumlah besar bantuan ketenteraan kepada Ukraine, menyebabkan AS kini giat menambah semula stok persenjataan.

Sementara itu, walaupun gencatan sementara dilihat masih bertahan, Iran menafikan laporan media yang mendakwa negara itu bersetuju melaksanakan gencatan senjata selama 10 hari.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei berkata, Tehran ketika ini tidak mengadakan rundingan secara langsung dengan AS, sebaliknya hanya meneruskan perbincangan dengan Oman berhubung masa depan Selat Hormuz.

Beliau turut menegaskan laluan strategik itu masih ditutup dan keadaan di kawasan berkenaan tidak berubah.

Dalam perkembangan berkaitan, konflik di rantau itu masih menunjukkan risiko peningkatan apabila Arab Saudi melancarkan serangan terhadap sasaran kumpulan Houthi di Yaman, manakala Ukraine dilaporkan menyerang sebuah kapal dagang Iran di Laut Caspian yang didakwa membawa muatan ketenteraan.

Bagaimanapun, perkembangan penghentian sementara konflik antara AS dan Iran memberi sentimen positif kepada pasaran global apabila harga minyak mentah jatuh lebih tujuh peratus pada awal dagangan Isnin, sekali gus mendorong kenaikan pasaran saham.

Penganalisis bagaimanapun mengingatkan prospek keamanan jangka panjang masih rapuh, terutama kerana laluan perdagangan melalui Selat Hormuz dan Laut Merah masih belum kembali beroperasi seperti biasa, selain rundingan rasmi antara Washington dan Tehran masih belum dimulakan. – REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.