
KUALA LUMPUR, 9 Jun – Kekuatan sebenar seseorang pemimpin terletak pada keupayaannya untuk bekerjasama dengan mereka yang berbeza demi kepentingan rakyat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata rakyat tidak menilai perbezaan yang wujud dalam kalangan pemimpin, sebaliknya rakyat menilai kemampuan pemimpin bekerjasama bagi menyelesaikan masalah dengan kesediaan untuk ‘duduk semeja’.
“Duduk semeja. Di Kuala Lumpur, UMNO mempunyai satu kerusi Parlimen iaitu Titiwangsa manakala Pakatan Harapan memiliki 10 kerusi Parlimen.
“Namun, semangat mentadbir bersama di bawah Kerajaan MADANI sentiasa menjadi keutamaan. Saya tidak pernah percaya bahawa kekuatan seseorang pemimpin diukur melalui siapa yang dia tolak”, katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut berkongsi pengalamannya bekerja dengan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, daripada parti yang berbeza.
“Walaupun beliau satu-satunya Ahli Parlimen UMNO di Kuala Lumpur, kami hanya mempunyai satu kumpulan WhatsApp bersama semua Ahli Parlimen Kuala Lumpur yang lain. Tiada pengasingan.
Menurut Hannah sepanjang menguruskan hal ehwal Wilayah Persekutuan, beliau banyak mendapatkan pandangan Datuk Seri Johari dalam pelbagai perkara termasuk berkaitan pengendalian bazar Ramadan, isu penjaja, pembangunan Kampong Bharu dan pelantikan ahli-ahli lembaga di Wilayah Persekutuan.
“Daripada pengalaman beliau, saya belajar bahawa mendengar pandangan yang berbeza sering menghasilkan keputusan yang lebih baik untuk rakyat.
“Bagi saya, itulah kekuatan sebuah kerajaan yang dibina atas kerjasama. DAP tidak menguasai tetapi turut mendengar pandangan rakan-rakan dalam kerajaan. Itulah setiakawan. Itulah hormat”, katanya.