
KUALA LUMPUR, 9 Jun- Sistem pemantauan bersepadu bagi pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dikenali sebagai ‘MyRMK’ dijangka mula dilaksanakan pada Ogos depan.
- MyRMK diwujudkan untuk memantau Pelan Pelaksanaan Dasar, termasuk perincian KPI nasional, strategi dan inisiatif RMK13.
- Sistem membolehkan agensi pelaksana merancang dan menyusun pelaksanaan program secara lebih teratur serta menyeluruh.
- Kementerian telah mengemukakan objektif masing-masing untuk dimasukkan dalam pemantauan MyRMK.
- MyRMK akan digunakan bagi memantau prestasi dan kemajuan pelaksanaan RMK13 serta pencapaian hasil yang ditetapkan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata sistem MyRMK diwujudkan bagi memantau Pelan Pelaksanaan Dasar (PPD) termasuk perincian petunjuk prestasi utama (KPI) nasional, strategi dan inisiatif yang digariskan dalam RMK13.
Beliau berkata pelaksanaan sistem itu membolehkan agensi pelaksana merancang dan menyusun pelaksanaan program secara lebih teratur serta menyeluruh.
“Saya telah mengumumkan bahawa mulai tahun ini kita akan menggunakan MyRMK bagi memantau prestasi dan kemajuan pelaksanaan RMK13 serta pencapaian hasil yang ditetapkan.
“Insya-Allah, pada masa ini semua kementerian telah mengemukakan objektif masing-masing dan diharapkan menjelang Ogos nanti kita dapat memulakan proses pelaporan pertama bagi menilai kedudukan semasa pelaksanaan serta pencapaian sasaran RMK13,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel pada program Invest Malaysia di sini hari ini.