
KUALA LUMPUR, 9 JUN – Pemain beregu lelaki negara Tee Kai Wun terbuka dengan perancangan barisan kejurulatihan untuk menggandingkannya dengan Aaron Chia.
- Kai Wun terkejut diberitahu dua minggu lalu mengenai gandengan dengan Aaron.
- Dia pemain serba boleh dan yakin boleh menyesuaikan diri serta terima cabaran baharu.
- Aaron pemain berkualiti tinggi, mempunyai pukulan mantap dan mampu menangani tekanan saat genting.
- Pasangan Aaron-Kai Wun pernah menang pingat emas SUKMA 2018 dan akan beraksi Terbuka Jepun 14-19 Julai.
Pemain berusia 26 tahun itu menyifatkan rancangan berkenaan akan memberi cabaran baharu dalam kariernya setelah digandingkan dengan bekas juara dunia 2022.
“Saya dapat tahu dua minggu lepas dan terkejut (bergandingan dengan Aaron).
“Saya jenis pemain serba boleh dan mungkin dengan sesiapa pun saya boleh sesuaikan diri. Ia cabaran baharu kepada saya,” katanya.
Kai Wun pada masa sama mengakui Aaron merupakan pemain berkualiti tinggi dari segi pukulan dan mampu menangani tekanan dengan baik sewaktu berdepan saat genting.
“Aaron pemain yang bagus. Sekiranya ada peluang, sudah semestinya saya akan terus belajar dengannya,” tambahnya.
Aaron-Kai Wun sebelum ini pernah memenangi pingat emas pada Sukan Malaysia 2018 untuk Melaka selain bergandingan pada saingan akhir Piala Thomas 2026 di Horsens, Denmark menentang Jepun di peringkat Kumpulan B.
Sabtu lepas, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengesahkan Aaron akan bergandingan dengan Kai Wun manakala Wooi Yik berpasangan bersama Man Wei Chong.
Aaron-Kai Wun dan Wooi Yik-Wei Chong dijadual beraksi pada kejohanan Terbuka Jepun di Tokyo pada 14 hingga 19 Julai depan. – Bernama