PTP, Pelabuhan Klang perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab Maritim serantau

Pelabuhan Klang/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Kedudukan strategik dan kapasiti operasi tinggi di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Klang terus memperkukuh peranan Malaysia sebagai antara hab maritim utama di rantau Asia.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pengendalian kontena besar di PTP dan Pelabuhan Klang membuktikan keupayaan mereka sebagai pintu masuk perdagangan serantau.
  • Pelabuhan Klang dijangka mencapai 15 juta TEU setahun menjelang 2025, menandakan peranan penting di rantau Asia.
  • Projek ECRL mampu meningkatkan ketersambungan antara Klang dan Kuantan, mengurangkan kos serta mempercepatkan pergerakan import dan eksport.
  • Pelaksanaan Malaysia Maritime Single Window sejak 2024 selaras dengan IMO, pendigitalan menyeluruh meningkatkan daya saing pelabuhan Malaysia.

Ketua Unit Centre for Offshore Renewable Energy (CEFORE) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof. Madya Dr Ahmad Faisal Mohamad Ayob berkata, jumlah pengendalian kontena yang besar di kedua-dua pelabuhan itu membuktikan keupayaannya untuk kekal sebagai pintu masuk perdagangan penting di rantau ini.

“Di Malaysia kita ada dua pelabuhan yang sangat kuat, iaitu Pelabuhan Tanjung Perlepas dan juga Pelabuhan Klang. Kalau kita lihat di tahun 2025, sebanyak 15 juta TEU setahun di Pelabuhan Klang itu sendiri menandakan bahawa Pelabuhan Klang itu mampu menjadi titik penting di rantau Asia ini,” katanya kepada RTM ketika ditemui selepas Program Biz Malaysia, hari ini

Pada masa sama, projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) berpotensi meningkatkan kecekapan rangkaian logistik negara menerusi hubungan lebih baik antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan, sekali gus membantu mengurangkan kos pengangkutan serta mempercepatkan pergerakan import dan eksport.

“Dan saya kira sekiranya ECRL ni berjaya, ketersambungan antara Pelabuhan Klang ke Pelabuhan Kuantan itu boleh menurunkan kos. Mungkin apabila import berlaku, dia boleh pergi ke Kuantan berbanding membuat pusingan U dari Singapura ke Selat Melaka,” katanya.

Sementara itu, katanya usaha pendigitalan sektor maritim melalui pelaksanaan Malaysia Maritime Single Window (MMSW) selaras dengan kehendak International Maritime Organization (IMO) turut meningkatkan daya saing pelabuhan negara di peringkat global.

“Bermula tahun 2024, Malaysia cuba untuk mematuhi keperluan International Maritime Organization yang dipanggil sebagai Maritime Single Window yang bermaksud pendigitalan secara menyeluruh.

“Ia akan menjadikan pelabuhan-pelabuhan di Malaysia lebih kompetitif dan menjadi pilihan utama bagi import-eksport di dunia,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.