Niaga hadapan MSM ditutup tinggi susulan harga minyak mentah, minyak soya kukuh

Foto fail

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup tinggi pada Isnin disokong oleh kenaikan harga minyak mentah dan minyak soya yang lebih kukuh, kata seorang peniaga.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jangkaan pengeluaran lebih rendah dalam beberapa minggu menyokong sentimen; paras sokongan di atas RM4,500, rintangan sekitar RM4,680 setiap tan.
  • Penyusutan nilai ringgit menjadikan minyak sawit Malaysia lebih menarik bagi pembeli asing, membantu menyokong harga.
  • Penurunan harga minyak sayuran pesaing mengehadkan kenaikan harga MSM.
  • Jumlah dagangan dan kepentingan terbuka merosot; harga fizikal Jun Selatan kekal RM4,520 setiap tan.

Peniaga Proprietari Iceberg X Sdn Bhd David Ng berkata jangkaan pengeluaran yang lebih rendah dalam beberapa minggu akan datang turut menyokong sentimen pasaran.

“Kami mendapati harga paras sokongan berada di atas paras RM4,500 setiap tan dengan paras rintangan pada RM4,680 setiap tan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penganalisis Kanan Fastmarkets Palm Oil Analytics Dr Sathia Varqa berkata penyusutan nilai ringgit menjadikan minyak sawit Malaysia lebih menarik kepada pembeli asing selain membantu menyokong harga.

“Bagaimanapun, penurunan dalam pasaran minyak sayuran pesaing mengehadkan kenaikan harga,” katanya.

Pada penutup dagangan, kontrak Jun 2026 dan Julai 2026 masing-masing meningkat RM13 kepada RM4,505 dan RM4,539 setiap tan.

Kontrak Ogos 2026 bertambah RM21 kepada RM4,575 setiap tan, kontrak September 2026 melonjak RM23 kepada RM4,607 setiap tan, kontrak Oktober 2026 menokok RM22 kepada RM4,638 setiap tan dan kontrak November 2026 berkembang RM24 kepada RM4,671 setiap tan.

Jumlah dagangan menurun kepada 51,506 lot daripada 98,296 lot pada Jumaat manakala kepentingan terbuka merosot kepada 290,490 kontrak daripada 293,957 kontrak sebelumnya.

Harga MSM fizikal untuk Jun Selatan kekal tidak berubah pada RM4,520 setiap tan.- BERNAMA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.