
KUALA LUMPUR, 8 Jun – Institusi tempatan meneruskan aliran belian bersih di Bursa Malaysia untuk minggu lapan berturut-turut, melibatkan dana berjumlah RM773.6 juta.
- Institusi asing terus jual bersih untuk minggu keempat berturut-turut, merekodkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.05 bilion.
- Pelabur runcit meneruskan aliran belian bersih empat minggu berturut-turut, mencatat aliran masuk bersih RM274.0 juta.
- Purata dagangan harian menurun luas, pengurangan terbesar direkodkan institusi asing pada -46.4 peratus.
Menurut MBSB Investment Bank Bhd (MBSB IB), institusi asing juga meneruskan aliran jualan bersih kepada minggu keempat berturut-turut, mencatatkan aliran keluar bersih sebanyak RM1.05 bilion.
“Institusi asing merupakan penjual bersih pada ketiga-tiga hari dagangan pada minggu yang singkat berikutan cuti umum Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong dan cuti gantian Hari Wesak.
“Aliran keluar tertinggi dicatatkan pada Rabu (-RM454.3 juta), diikuti Khamis (-RM367.4 juta) dan Jumaat (-RM225.8 juta),” katanya dalam laporan aliran dana mingguan berakhir pada 5 Jun lalu.
Antara sektor yang mencatat aliran masuk bersih ialah institusi asing tenaga (RM18.1 juta), pengangkutan dan logistik (RM12.9 juta) serta teknologi (RM8.8 juta).
Manakala, sektor yang mencatatkan aliran keluar bersih adalah institusi asing perkhidmatan kewangan (-RM312.5 juta), utiliti (-RM125.0 juta) serta produk dan perkhidmatan pengguna (-RM121.8 juta).
“Pelabur runcit meneruskan aliran belian bersih kepada empat minggu berturut-turut dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM274.0 juta,” jelasnya dalam laporan sama.
Purata jumlah dagangan harian menyaksikan penurunan yang meluas dengan peruncit merekodkan sebanyak -6.1 peratus, institusi tempatan (-21.7 peratus) manakala institusi asing (-46.4 peratus).