Ringgit kekal berdaya tahan meskipun diasak pengukuhan dolar AS

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 8 Jun – Ringgit terus menunjukkan prestasi positif berbanding beberapa mata wang serantau meskipun dolar Amerika Syarikat (AS) kekal kukuh di pasaran global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang stabil dan prestasi perdagangan menyokong mata wang tempatan.
  • Pergerakan mata wang ditentukan faktor permintaan dan penawaran serta keyakinan pelabur terhadap ekonomi.
  • Pertumbuhan KDNK positif dan eksport elektrik serta elektronik berterusan meskipun gangguan logistik antarabangsa.
  • Prospek ringgit bergantung kepada kekuatan dolar AS, dasar monetari AS, aliran pelaburan asing dan prestasi eksport.

Pensyarah Kanan Putra Business School, Dr. Ida Md Yasin berkata pengukuhan ringgit ketika ini didorong oleh keyakinan terhadap ekonomi Malaysia yang masih stabil serta disokong prestasi perdagangan negara.

Menurut beliau, pergerakan mata wang bergantung kepada faktor permintaan dan penawaran, selain keyakinan pelabur terhadap sesebuah ekonomi.

“Apabila kita melihat ringgit Malaysia ini kukuh berbanding dengan mata wang serantau yang lain, contohnya berbanding dengan rupiah, itu juga menunjukkan bahawa ada keyakinan terhadap ekonomi dalam negara kita ini. Ekonomi dalaman kita nampak stabil dan eksport juga seperti biasa tidak terjejas banyak walaupun berlaku ketidaktentuan ekonomi,” katanya.

Beliau turut berpandangan bahawa prestasi positif ringgit dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini mencerminkan kekuatan asas ekonomi Malaysia yang terus berkembang meskipun berdepan cabaran luaran.

Katanya, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kekal positif serta aktiviti eksport yang berterusan menjadi petunjuk penting kepada kestabilan ekonomi negara.

“Kita masih lagi mempunyai keluaran dalam negara kasar ataupun KDNK yang positif, itu sudah menunjukkan situasi ekonomi yang baik.

Pertumbuhan KDNK bersifat positif dan eksport, contohnya eksport elektrik dan elektronik masih berlangsung walaupun terdapat sedikit gangguan dari segi logistik di peringkat antarabangsa,” beliau menambah.

Mengulas prospek ringgit bagi baki tahun ini, beliau berkata pergerakan mata wang tempatan akan terus dipengaruhi oleh beberapa faktor termasuk kekuatan dolar AS, dasar monetari Amerika Syarikat, aliran pelaburan asing serta prestasi eksport Malaysia.

Menurutnya, selagi asas ekonomi domestik kekal kukuh dan Malaysia terus mencatat prestasi perdagangan yang baik, ringgit berpotensi mengekalkan daya tahannya dalam persekitaran ekonomi global yang mencabar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.