
TEXAS, 7 Jun – Juara bertahan, Argentina, mencatatkan kemenangan selesa 2-0 ke atas Honduras dalam perlawanan pemanas badan menjelang Piala Dunia di sini pada Sabtu, meskipun tanpa khidmat ketua pasukan, Lionel Messi, yang direhatkan akibat kecederaan.
- Cristopher Melendez mengasari Nicolas Tagliafico dalam kotak penalti, memberi peluang penalti pada minit ke-37.
- Lautaro Martinez menyempurnakan sepakan penalti leret ke penjuru kiri bagi meletakkan pasukan di hadapan.
- Giuliano Simeone menyudahkan hantaran Lautaro Martinez pada minit ke-54, menggandakan kelebihan pasukan.
- Argentina menguasai babak kedua selepas perubahan taktikal; Honduras gagal memberikan tentangan bermakna.
Gol pada setiap babak menerusi sepakan penalti Lautaro Martinez dan jaringan Giuliano Simeone sudah cukup untuk mengesahkan dominasi skuad kendalian Lionel Scaloni itu, yang kini dalam fasa akhir persiapan sebelum memulakan kempen mempertahankan kejuaraan menentang Algeria pada 17 Jun ini.
Dalam aksi di College Station itu, Messi sekadar memanaskan bangku simpanan selepas Scaloni enggan mengambil risiko bagi membolehkan pemenang Ballon d’Or itu pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring yang dialaminya sejak 24 Mei lalu.
Perlawanan yang agak hambar pada permulaan bertukar rancak pada minit ke-37 apabila pertahanan Honduras, Cristopher Melendez, mengasari Nicolas Tagliafico di dalam kotak penalti.
Penyerang Inter Milan, Martinez, tidak memsia-siakan peluang tersebut apabila melepaskan rembatan leret ke penjuru kiri gawang bagi meletakkan skuad Albiceleste di hadapan.
Argentina terus garang pada babak kedua dan menggandakan kelebihan pada minit ke-54 menerusi gerakan menarik Martinez yang melakukan hantaran sebelum disempurnakan oleh pemain Atletico Madrid, Simeone.
Skuad kendalian Scaloni sepatutnya mampu memenangi perlawanan dengan jumlah jaringan lebih besar.
Namun rembatan melengkung Giovani Lo Celso pada babak pertama sekadar menggegarkan palang gol.
Manakala percubaan Tomas Aranda pada separuh masa kedua berjaya dinafikan penjaga gol Honduras, Edrick Menjivar.
Sementara itu, Honduras pula gagal memberikan sebarang tentangan sepanjang separuh masa kedua selepas Argentina menukar taktikal permainan.
Argentina dijadualkan menentang Iceland dalam aksi persahabatan terakhir mereka di Auburn, Alabama pada Selasa.
Scaloni memberi bayangan bahawa Messi mungkin akan diturunkan untuk tempoh yang singkat bagi mendapatkan rentak permainan. – AFP