
CLEVELAND, 7 Jun – Pemain gantian, Endrick muncul wira Brazil apabila meledak gol kemenangan untuk membantu pasukan gergasi Amerika Selatan itu menewaskan Mesir 2-1 dalam aksi pemanas badan terakhir menjelang Piala Dunia, pada Jumaat.
- Kesilapan hantaran belakang Marquinhos dibaca Mostafa Zico, menjaringkan gol penyamaan Mesir pada minit ke-11.
- Carlo Ancelotti membuat lapan pertukaran; Endrick masuk dan menyempurnakan hantaran Raphinha pada minit ke-52.
- Brazil akan memulakan Kumpulan C menentang Maghribi pada 13 Jun, diikuti Scotland dan Haiti.
Pada aksi di hadapan ribuan penyokong tegar di gelanggang pasukan NFL Cleveland Browns itu, juara dunia lima kali berkenaan bermula garang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ketujuh.
Gol itu berpunca daripada kesilapan pemain tengah Mesir, Mohanad Lashin yang kehilangan bola kepada pemain Brazil, Bruno Guimaraes, yang kemudiannya melepaskan rembatan rendah menewaskan penjaga gol, Mostafa Shoubir.
Bagaimanapun, kegembiraan Brazil tidak bertahan lama apabila giliran benteng pertahanan mereka pula melakukan kesilapan mudah yang membawa kepada gol penyamaan skuad ‘The Pharaohs’.
Hantaran ke belakang yang lemah oleh pertahanan Paris Saint-Germain, Marquinhos, berjaya dihidu oleh penyerang Mesir, Mostafa Zico, yang bijak meledak rembatan bagi gol penyamaan pada minit ke-11 menewaskan penjaga gol Liverpool, Alisson.
Tersentak dengan gol itu, Brazil memperkemaskan asakan dan hampir menambah jaringan menerusi percubaan menerusi Vinicius Jr dan penyerang Barcelona, Raphinha.
Namun ketangkasan Shoubir berjaya menyelamatkan pintu gol Mesir sehingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, Pengendali Brazil, Carlo Ancelotti melakukan perubahan taktikal dengan membuat lapan pertukaran pemain, termasuk memasukkan Endrick.
Penyerang Real Madrid yang dipinjamkan ke Lyon musim lepas itu, hanya memerlukan beberapa minit selepas dimasukkan untuk menyempurnakan hantaran Raphinha pada minit ke-52.
Kemenangan 2-1 itu mengukuhkan rekod Brazil dalam tiga pertemuan terakhir menentang Mesir, selepas sebelum ini menang 4-3 pada saingan Piala Konfederasi FIFA 2009 dan 2-0 dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 2011.
Brazil bakal memulakan pemburuan kejuaraan dalam Kumpulan C menentang semifinalis edisi 2022, Maghribi pada 13 Jun ini, sebelum bertemu Scotland dan Haiti.
Mesir pula dijadual membuka kempen Kumpulan G menentang Belgium pada 15 Jun, sebelum berdepan saingan New Zealand serta Iran.