MPL MY S17: Vamos tempah tiket ke pentas akhir

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 6 Jun – Pentas Grand Final Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia Musim Ke-17 bakal menyajikan pertembungan sengit apabila Team Vamos dijadualkan menentang juara bertahan, Selangor Red Giants (SRG) bagi menentukan kejuaraan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Team Vamos menumpaskan Invictus Gaming 4-0 di peringkat akhir lower bracket.
  • Kemenangan itu menjamin tempat mewakili Malaysia ke Piala Pertengahan Musim EWC 2026 di Paris.
  • Jurulatih Valdo tekankan memperkemas corak permainan dan semangat juang tinggi, bukan terlalu fokus strategi lawan.
  • Pemain Zqeef akui tidak sangka kemenangan 4-0 dan anggap kelayakan ke Paris sesuatu yang bermakna.

Slot perlawanan akhir itu disahkan oleh skuad bimbingan Afrindo Valentino pada Sabtu selepas mereka mempamerkan aksi luar biasa menumbangkan Invictus Gaming (IG) dengan keputusan bersih 4-0 di peringkat akhir lower bracket di Stadium Juara, Bukit Kiara.

Meskipun mengakui SRG merupakan antara pasukan terkuat ketika ini, pengendali yang mesra disapa Valdo itu mahu anak buahnya turun dengan semangat juang yang tinggi bagi mencabar Selangor Red Giants (SRG).

“Sejak kami berjaya berada dalam kelompok tiga terbaik musim reguler, memang kami meletakkan sasaran untuk pergi sejauh mungkin.

“Kami akan terus memberikan yang terbaik, bukan sahaja di Grand Final tetapi juga di EWC nanti,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Kemenangan ke atas IG itu bukan sahaja membawa Vamos ke pentas akhir, malah memastikan mereka meraih slot berprestij mewakili negara ke Piala Pertengahan Musim (MSC) di EWC 2026 yang dijadualkan berlangsung di Paris, Perancis.

Mengulas lanjut mengenai persediaan menentang SRG, Valdo menjelaskan fokus utama pasukannya ketika ini adalah memperkemaskan corak permainan pasukan berbanding terlalu memikirkan strategi lawan.

Jelas Valdo, jelasnya peluang untuk menang tetap ada dan setiap pasukan mampu melakukan kejutan pada peringkat kalah mati (playoff).

Sementara itu, pemain Team Vamos, Muhammad Aqif Haiqal Azman atau ‘Zqeef’ mengakui mereka sama sekali tidak menjangkakan kemenangan mudah terhadap IG, selain menyifatkan layak ke pentas dunia di Paris sebagai sesuatu yang bermakna.

“Sejujurnya kami tidak menjangka mampu menang 4-0 kerana kami menjangkakan IG akan memberikan tentangan lebih sengit.

“Namun, kami bermain mengikut perancangan dan syukur rezeki memihak kepada kami sehingga berjaya mara ke Grand Final,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Dalam pada itu, bakat muda e-sukan tempatan, Danish Tahqif Abdullah, membuktikan statusnya sebagai antara pemain Mobile Legends paling menyerlah apabila membantu Team Vamos melayakkan diri ke Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL) Malaysia Musim Ke-17, pada Sabtu.

Pemain berusia 17 tahun yang mesra disapa ‘Error 404’ itu mendedahkan dia terpaksa beraksi dalam keadaan tidak sihat selepas demam sebelum bermula perlawanan

Jelasnya, keadaan itu tidak menjejaskan fokusnya untuk membantu pasukan.

“Sebenarnya pagi tadi saya rasa sudah sihat, tetapi sebelum perlawanan demam itu datang semula.

“Ketika hendak bermain memang saya kurang selesa, namun selepas beberapa ketika keadaan semakin baik dan saya dapat memberikan fokus kepada permainan,” katanya ketika ditemui media selepas perlawanan.

Dia menyifatkan kejayaan menempah tiket ke Grand Final itu sebagai satu detik istimewa, menganggap pencapaian berkenaan adalah hasil pengorbanan serta kerja keras seluruh pasukan sepanjang musim ini.

Di sebalik kesibukan dalam arena e-sukan kompetitif, Error 404 tetap memberi keutamaan terhadap pelajaran dengan memanfaatkan masa di sekolah untuk mengikuti pembelajaran sebelum menjalani latihan harian bersama pasukannya.

Kejayaan ini sekali gus membuktikan bahawa bidang pendidikan dan kerjaya profesional dalam arena e-sukan mampu bergerak seiring sekiranya disusuli dengan pengurusan masa serta disiplin yang mantap.

Penampilan bertenaga pemain remaja ini turut meletakkan beliau sebagai antara permata baharu yang semakin menyinar dan wajar diberi tumpuan dalam landskap Mobile Legends tempatan masa kini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.