
NEW JERSEY, 7 Jun – Scotland melaungkan amaran awal menjelang kepulangan mereka ke pentas Piala Dunia selepas membelas Bolivia 4-0 dalam perlawanan pemanas badan di sini, pada Sabtu.
- Clarke turunkan barisan terkuat untuk mencari keputusan positif menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Haiti.
- Lawrence Shankland buka jaringan awal, kini tiga gol dalam dua penampilan bersama skuad kebangsaan.
- Ben Gannon Doak gunakan kepantasan buat dua hantaran menghasilkan gol untuk Che Adams.
- Scotland kendalikan permainan babak kedua dengan mengendur sebagai langkah berhati hati elak kecederaan.
Skuad kendalian Steve Clarke itu memamerkan aksi bertenaga dengan meledak kesemua empat gol pada babak pertama sekali gus melonjakkan moral pasukan yang bakal membuat penampilan pertama di kejohanan berprestij itu selepas menyepi selama 28 tahun.
Clarke menurunkan barisan pemain terkuatnya dalam usaha memburu keputusan positif seminggu sebelum perlawanan pembukaan Kumpulan C menentang Haiti.
Penyerang baharu Rangers, Lawrence Shankland, membuktikan ketajamannya apabila membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi tandukan kemas hasil hantaran lintang ketua pasukan, Andy Robertson.
Jaringan itu merupakan gol ketiga Shankland dalam dua perlawanannya bersama skuad kebangsaan.
Shankland sekali lagi mencuri tumpuan apabila melakukan umpanan buat Scott McTominay, yang melepaskan rembatan kencang dari luar kotak penalti untuk gol kedua Scotland.
Pemain Bournemouth, Ben Gannon Doak, kemudian menggunakan kepantasan lariannya untuk merobek pertahanan Bolivia sebelum melakukan hantaran yang mudah disempurnakan oleh penyerang Torino, Che Adams.
Gannon Doak sekali lagi mengucar-kacirkan pertahanan Bolivia untuk membantu Adams meledak gol kedua peribadinya sebelum rehat.
Kemenangan itu sekali gus melengkapkan malam gemilang buat tentera Tartan Army.
Bersambung babak kedua, Scotland dilihat lebih selesa mengendurkan asakan bagi mengelakkan sebarang kecederaan pemain.
Namun kedudukan 4-0 kekal sehingga wisel penamat.
Selain Haiti, Scotland yang diundi dalam Kumpulan C dijadualkan menentang Maghribi dan juara dunia lima kali, Brazil. – AFP