
FLORIDA, 7 Jun – Jaringan tunggal oleh ketua pasukan, Harry Kane, memastikan England mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas New Zealand dalam aksi pemanas badan Piala Dunia yang hambar dalam cuaca panas terik disini pada Sabtu.
- Kane menegaskan fokus pasukan ialah menyesuaikan diri dengan cuaca, bukan keputusan, dan beliau berasa cergas serta teruja untuk kempen.
- Tuchel membuat rombakan drastik dengan menukar kesemua 11 pemain pada babak kedua untuk memberi minit permainan seimbang.
- Ivan Toney disangka dapat penalti tetapi VAR menafikan kerana ofsaid; England menguasai bola tetapi gagal memecah benteng pertahanan New Zealand.
Jaringan pada penghujung babak pertama itu sudah cukup untuk menyelamatkan maruah skuad kendalian Thomas Tuchel, yang kelihatan bergelut menentang New Zealand ketika persediaan menjelang sepak mula kejohanan yang berbaki kurang dua minggu lagi.
Kane, yang meledak gol ke-67 peribadinya musim ini, menyempurnakan hantaran lintang menarik daripada Djed Spence pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Sementara itu, bercakap selepas perlawanan, Kane menegaskan bahawa fokus utama pasukan ketika ini adalah bagi menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca berbanding keputusan perlawanan.
“Kami di sini adalah untuk persiapan, melebihi daripada memikirkan soal keputusan perlawanan. Ini adalah tahap kecergasan terbaik yang pernah saya lalui sepanjang kerjaya saya.
“Saya sangat teruja dan tidak sabar untuk memulakan kempen kali ini,” kata penyerang prolifik itu.
Pada perlawanan berkenaan, pengendali England, Tuchel melakukan rombakan drastik dengan menukar kesemua 11 pemain pada babak kedua bagi memberikan minit permainan yang seimbang kepada anak buahnya.
Pengganti Kane, Ivan Toney, menyangka beliau berjaya menghadiahkan sepakan penalti buat England selepas dikasari, namun dinafikan oleh pengadil selepas semakan video bantuan pengadil (VAR) mendapati penyerang Al- Ahli itu berada pada kedudukan ofsaid.
Meskipun menguasai keseluruhan penguasaan bola, England gagal menambah gol memandangkan barisan pertahanan New Zealand lebih gemar berkampung bagi mengelakkan gawang mereka dibolosi dengan jumlah yang besar.
Pengurus England, Tuchel bagaimanapun tidak panik dengan persembahan anak buahnya dan tetap optimis mengenai kemampuan pasukannya menjelang perlawanan pembukaan Kumpulan L menentang Croatia pada 17 Jun ini.
“Tenaga pasukan berada di landasan yang betul dan kualiti permainan akan menyusul kemudian. Semakin hebat lawan yang bakal kami tempuhi selepas ini, semakin baik tahap permainan yang akan kami pamerkan,” ujar Tuchel.
Walaupun tidak memenangi sebarang kejohanan utama sejak 60 tahun lalu, England tetap diletakkan sebagai antara pasukan pilihan dalam edisi Piala Dunia kali ini selepas berjaya mara sekurang-kurangnya ke peringkat suku akhir dalam empat kejohanan besar terakhir mereka.
Selain Croatia, England juga akan berdepan cabaran Ghana dan Panama dalam saingan Kumpulan L, manakala New Zealand diundi dalam Kumpulan G bersama-sama Iran, Belgium, dan Mesir. – AFP