
LENGGONG, 7 Jun – Lenggong Geopark memperkenalkan modul usahawan geopark pertama di negara ini menerusi Program GeoEntrepreneur bagi menyokong usaha memperkasa ekonomi komuniti setempat.
- Fokus latihan kepada pengusaha pelancongan, makanan dan penginapan untuk tingkatkan kualiti perkhidmatan dan daya saing industri pelancongan tempatan.
- Program berpotensi menjadi modul rujukan latihan kepada usahawan geopark di seluruh negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti.
- Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong ditetapkan sebagai pusat latihan untuk usahawan tempatan dan geopark seluruh negara.
- Pembangunan direktori perkhidmatan pelancongan memudahkan pelawat mendapatkan maklumat makanan, penginapan dan aktiviti menarik di Lenggong.
Program itu memberi fokus latihan kepada pengusaha pelancongan, makanan dan penginapan bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan serta daya saing industri pelancongan tempatan.
Pengerusi Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark, Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, program berkenaan berpotensi menjadi modul rujukan latihan kepada usahawan di geopark seluruh negara.
“Mana-mana geopark di seluruh Malaysia yang ingin melatih usahawan mereka boleh datang ke Lenggong. Kita mempunyai Kolej Komuniti Gerik Cawangan Lenggong yang akan menjadi pusat latihan kepada usahawan tempatan serta usahawan dari geopark di seluruh negara.
Pada masa sama, lebih ramai akan datang ke Lenggong dan ia akan memberi perkembangan positif kepada kawasan ini,” katanya selepas melancarkan Program GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark, di sini.
Beliau turut memaklumkan, pihaknya akan membangunkan direktori perkhidmatan pelancongan yang boleh diakses pelawat bagi memudahkan mereka mendapatkan maklumat berkaitan makanan, penginapan serta aktiviti menarik di Lenggong.
“Inisiatif ini juga merupakan persediaan penting menjelang penganjuran acara bertaraf antarabangsa ‘Lenggong Dialogue’ yang dijadual berlangsung pada Disember ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program GeoEntrepreneur Lenggong UNESCO Global Geopark di sini, yang dilancarkan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Program berkenaan dianjurkan bersama Majlis Pelancongan Lenggong, Geokomuniti Badan Pengurusan Lenggong Geopark dan Kolej Komuniti Gerik.