Hakim Danish miliki kelebihan aksi pelbagai litar – Hafizh

Hafizh Syahrin Abdullah

PUTRAJAYA, 4 Jun – Keupayaan beraksi cemerlang dalam apa jua keadaan litar menjadi faktor utama yang meletakkan pelumba Moto3 negara, Muhammad Hakim Danish Ramli antara prospek paling cerah Malaysia ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menonjol di litar basah dan kering, memberikan kelebihan untuk bersaing secara konsisten di pentas dunia
  • Peningkatan prestasi dan keyakinan dua pusingan terakhir menunjukkan dia semakin matang dan tidak lagi gementar
  • Podium pertama di Mugello jadi titik tolak penting untuk sasaran keputusan lebih membanggakan musim ini

Bekas pelumba MotoGP negara, Hafizh Syahrin Abdullah menyifatkan kelebihan Hakim Danish yang mampu menyesuaikan diri di litar kering mahupun basah memberikan kelebihan besar untuk bersaing secara konsisten di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia.

“Kita pun tahu Hakim Danish di litar basah sangat bagus. Bila ada dua pakej, hujan boleh bawa, kering pun boleh bawa, itu kelebihan yang kita ada sekarang” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis RCB dan UMA Racing Memperkenalkan Barisan Atlet, Duta 2026 di sini.

Menurut Hafizh, peningkatan prestasi yang ditunjukkan pelumba berusia 18 tahun itu sejak beberapa pusingan lalu turut membuktikan beliau semakin matang dan selesa menyesuaikan diri dengan cabaran Moto3.

“Saya yakin dengan dia kerana dalam dua pusingan terakhir dia nampak sangat yakin dan menunjukkan peningkatan berbanding awal musim.

“Mungkin pada permulaan musim dia sedikit gementar, tetapi sekarang dia sudah tidak kelihatan seperti pelumba baharu. Perlumbaan terakhir itu memang sangat sengit,” katanya.

Hafizh juga percaya podium sulung yang diraih Hakim Danish pada Grand Prix Itali baru-baru ini mampu menjadi titik tolak untuk pelumba kelahiran Terengganu itu terus mencatat keputusan lebih membanggakan pada baki saingan musim ini.

Hakim Danish mencipta sejarah tersendiri apabila menamatkan perlumbaan Moto3 Grand Prix Itali di tempat ketiga di Mugello Circuit, sekali gus menghadiahkan podium pertama Malaysia dalam kategori Moto3 sejak 2016.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.