
IPOH, 4 Jun – Penglibatan masyarakat Orang Asli dalam pengurusan kawasan hutan dan aktiviti pendakian perlu diperkasakan secara lebih sistematik bagi memanfaatkan pengetahuan serta pengalaman mereka di lapangan.
- Perlu pemerkasaan penglibatan Orang Asli secara sistematik dalam pengurusan hutan dan aktiviti pendakian.
- Tok Batin memiliki pengetahuan mendalam tentang kawasan hutan dan persekitaran setempat yang penting dimanfaatkan.
- Orang Asli perlu dilibatkan dalam pemantauan, operasi SAR dan pengurusan laluan untuk kelancaran operasi serta mengurangkan kerosakan.
- Kawasan pendakian Gunung Batu Putih ditutup sementara tiga hingga enam bulan untuk pemulihan laluan, keselamatan dan penilaian semula pengurusan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, komuniti Orang Asli khususnya Tok Batin mempunyai pengetahuan mendalam mengenai kawasan hutan dan persekitaran setempat yang sukar ditandingi pihak luar.
Menurut beliau, penglibatan mereka penting dalam aspek pengurusan, pemantauan serta operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi memastikan kelancaran setiap operasi.
“Sebab ada tanaman-tanaman mereka juga termusnah apabila terlalu ramai anggota penyelamat masuk dan perkara itu sering menjadi rungutan mereka.
“Jadi sepatutnya, terutama Tok Batin di kawasan pendakian, mereka hendaklah dilibatkan sama. Jika berlaku operasi menyelamat, mereka juga perlu dilibatkan kerana mereka lebih mengetahui kawasan tersebut,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Perak 2026 di Ipoh.
Sementara itu, Pengarah Perhutanan Negeri Perak, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf memaklumkan kawasan pendakian Gunung Batu Putih akan ditutup sementara antara tiga hingga enam bulan bagi tujuan keselamatan dan kerja pemulihan laluan.
Menurut beliau, penutupan itu bertujuan membolehkan kerja baik pulih dilaksanakan di kawasan yang kerap digunakan pendaki, selain menilai semula aspek keselamatan dan pengurusan laluan pendakian.