
KUALA LUMPUR, 4 Jun – Mekanisme penyelarasan yang lebih bersepadu perlu diwujudkan bagi memastikan pembangunan ekosistem kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
- Elakkan pembaziran dan pertindihan usaha; optimumkan penggunaan sumber negara melalui dasar konsisten dan penyelarasan kementerian.
- Manfaat sebenar AI direalisasikan apabila data digunakan merentas sektor dan semua sektor bekerjasama secara bersepadu.
- Fokus pada pembangunan struktur dan ekosistem mampan bagi menyokong pertumbuhan teknologi digital dan capai sumbangan 30% KDNK menjelang 2030.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, langkah itu penting bagi mengelakkan pembaziran dan pertindihan usaha, selain dapat mengoptimumkan penggunaan sumber negara.
“Kita perlu memastikan penggunaan sumber dilakukan secara berhemah dan dasar yang digubal dapat diguna pakai secara konsisten di seluruh kerajaan. Akhirnya, kita memerlukan sebuah kementerian yang dapat menyelaras semua usaha tersebut.
“Kekuatan data sebenarnya terletak pada keupayaan untuk menggunakannya merentasi pelbagai sektor. Dengan cara itu, kita dapat membina sebuah negara di mana semua sektor bekerjasama dan di situlah manfaat sebenar AI dapat direalisasikan.
“Namun, untuk memastikan perkara ini berkekalan, perbincangan ini jauh lebih besar daripada tanggungjawab satu kementerian sahaja,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sesi dialog menteri bertajuk “Memacu Fasa Pertumbuhan Baharu Malaysia: Tenaga, Ekonomi dan Digital yang Selaras” bersempena Persidangan Peralihan Tenaga (ETCon26) di sini, hari ini.
Tambah beliau, pembangunan struktur dan ekosistem yang menyeluruh juga perlu diberi penekanan bagi menyokong pertumbuhan teknologi digital dan kecerdasan buatan (AI) secara mampan.
Ini selaras dengan sasaran sumbangan sektor digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 30 peratus menjelang 2030.