Rwanda kembali anjur Grand Prix F1 di Afrika, awal 2030-an

Foto AFP

PARIS, 13 Oktober –Rwanda bakal menjadi negara Afrika pertama menganjurkan perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) sejak 1993, selepas memeterai perjanjian selama 10 tahun dengan pihak penganjur pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlumbaan dijangka berlangsung awal 2030-an selepas siapnya litar khas di Bugesera, Rwanda.
  • Presiden F1 Stefano Domenicali menyifatkan perjanjian itu sebagai detik penting bagi sukan permotoran dunia.
  • Presiden Paul Kagame umumkan hasrat menjadi tuan rumah ketika penganjuran perhimpunan FIA pada Disember 2024.
  • Usaha itu mendapat sokongan Lewis Hamilton sementara Afrika Selatan juga berusaha menjadi tuan rumah sebelum 2030.

Perlumbaan itu dijangka berlangsung pada awal 2030-an, sebaik sahaja litar khusus yang akan dibina di Bugesera, Rwanda, siap sepenuhnya.

Presiden F1, Stefano Domenicali, menyifatkan perjanjian itu sebagai detik penting bagi sukan permotoran dunia, yang bakal kembali ke benua Afrika selepas lebih tiga dekad.

Perlumbaan F1 terakhir di Afrika ialah Grand Prix Afrika Selatan pada 1993, yang menyaksikan Alain Prost muncul juara.

Rwanda yang sebelum ini giat menggunakan sukan untuk menarik pelancong dan pelabur, secara rasmi mengumumkan hasratnya menjadi tuan rumah F1 menerusi Presiden Paul Kagame ketika negara itu menganjurkan perhimpunan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) pada Disember 2024.

Kagame menyifatkan perjanjian itu sebagai pencapaian penting buat Afrika selepas benua berkenaan tidak menganjurkan perlumbaan F1 selama lebih tiga dekad.

Usaha Rwanda itu turut mendapat sokongan juara dunia tujuh kali, Lewis Hamilton, yang sekian lama menyuarakan hasrat agar perlumbaan F1 kembali ke Afrika.

Sementara itu, Afrika Selatan yang turut berusaha mendapatkan tempat dalam kalendar F1 menegaskan peluang negara itu untuk menjadi tuan rumah perlumbaan berkenaan tidak seharusnya diketepikan.

Menteri Sukan Afrika Selatan, Gayton McKenzie, berkata Rwanda telah berusaha lebih lama dan wajar diberikan peluang, namun beliau yakin Afrika Selatan juga akan berjaya menganjurkan perlumbaan F1 sebelum 2030. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.