Hizbullah umum bantuan kewangan kepada keluarga kehilangan kediaman

Foto Viory

BEIRUT, 13 Oktober –Hizbullah mengumumkan program bantuan kewangan sehingga AS$14,000 bagi setiap keluarga Lubnan yang kehilangan kediaman akibat perang dengan Israel.

RINGKASAN BERITA AI
  • Hizbullah beri bayaran berbeza: AS$14,000 untuk Beirut dan pinggir selatan, AS$12,000 untuk kawasan lain.
  • Bantuan untuk keluarga kehilangan kediaman yang musnah atau tidak lagi boleh didiami, termasuk kawasan selatan yang diduduki.
  • Pembayaran dibuat dalam empat peringkat setahun, namun sumber pembiayaan dan bilangan penerima tidak diperincikan.

Ketua Majlis Eksekutif Hizbullah, Ali Daamouch, berkata bantuan berjumlah AS$14,000 akan diberikan kepada penduduk Beirut dan pinggir selatannya, manakala keluarga di kawasan lain akan menerima AS$12,000.

Beliau berkata, bantuan itu dikhususkan kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal akibat kediaman musnah atau tidak lagi boleh didiami, termasuk penduduk di kawasan selatan yang diduduki Israel.

Bagaimanapun, bantuan berkenaan hanya diberikan kepada mereka yang tidak mempunyai kediaman kedua.

Menurut Daamouch, pembayaran akan dibuat dalam empat peringkat sepanjang tempoh setahun.

Namun, beliau tidak memperincikan sumber pembiayaan atau jumlah penerima yang mampu ditampung oleh kumpulan itu.

Pengumuman itu merupakan bantuan pertama Hizbullah sejak kumpulan berkenaan menarik Lubnan ke dalam konflik baharu dengan Israel pada 2 Mac lalu, sebagai menyokong Iran yang diserang Amerika Syarikat dan Israel pada 28 Februari.

Langkah itu dibuat meskipun Hizbullah berdepan sekatan Amerika Syarikat dan Lubnan, selain kawalan lebih ketat pihak berkuasa Lubnan terhadap sumber pembiayaan serta laluan bekalan kumpulan berkenaan. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.