Saintis temui lebih 30 spesies baharu di laut dalam Atlantik Selatan

Antara spesis laut dalam baharu yang ditemui saintis pada ekspedisi di Lautan Atlantik Selatan baru-baru ini/Reuters

CEARÁ, 3 Jun- Lebih 30 spesies marin baharu ditemui menerusi satu ekspedisi laut dalam di perairan luar pantai Brazil dekat Lautan Atlantik Selatan, menurut pasukan penyelidik antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Zon midwater adalah ekosistem luas, kompleks dan masih sukar diteroka kerana skala besar serta keterbatasan akses teknologi.
  • Teknologi pengimejan canggih dan penjujukan genom di atas kapal membolehkan pengesahan spesies baharu dalam masa beberapa hari.
  • Ditemui kepelbagaian tak dijangka termasuk amfipod, cacing gossamer, obor-obor, siphonophore, comb jellies, larvacean, rhizarian dan sotong pelagik.

Penemuan itu dibuat sepanjang tempoh dua minggu ekspedisi berkenaan di zon pelagik pertengahan (zon midwater) iaitu lapisan antara permukaan dan dasar laut yang dianggap sebagai ekosistem hidupan terbesar di bumi tetapi masih antara yang paling kurang diterokai.

Para penyelidik berkata penggunaan teknologi pengimejan canggih serta analisis genetik membolehkan pengesahan spesies baharu dilakukan dalam tempoh beberapa hari, berbanding kaedah konvensional yang lazimnya mengambil masa bertahun-tahun.

Antara spesies yang dikenal pasti termasuk amfipod yang berkait dengan ketam dan udang kara, cacing gossamer yang bergerak pantas, sembilan spesies obor-obor, siphonophore (7), comb jellies (7), larvacean (4) yang menghasilkan struktur mukus untuk menapis makanan serta rhizarian gergasi (2) yang boleh dilihat tanpa mikroskop.

Pasukan itu turut menemui kepelbagaian biologi yang tidak dijangka termasuk sotong kaca dan sotong pelagik yang memakan obor-obor berwarna merah terang.

Menurut penyelidik, zon midwater kekal sukar diteroka kerana skala lautan yang sangat besar serta keterbatasan akses teknologi.

“Kepelbagaian di zon midwater ini jauh lebih kompleks daripada jangkaan kami dan masih banyak spesies di bawah itu yang belum pernah direkodkan,” kata salah seorang penyelidik yang menyertai ekspedisi itu.

Bagi tujuan dokumentasi, ekspedisi itu menggunakan sistem pengimejan DeepPIV dan EyeRIS yang dipasang pada kenderaan kawalan jauh bawah air untuk menghasilkan imej tiga dimensi organisma marin, selain kamera shadowgraph bagi merakam struktur halus yang tidak dapat dilihat melalui imbasan 3D.

Turut digunakan ialah ruang realiti maya untuk simulasi persekitaran semula jadi, mesin graviti untuk kajian mikroorganisma dalam keadaan hidrodinamik terkawal, serta mikroskop konfokal sumber terbuka bagi merakam struktur sel hidup di laut dalam.

Para penyelidik turut menjalankan penjujukan genom di atas kapal, sekali gus membolehkan pengenalpastian spesies baharu dilakukan dengan lebih pantas semasa ekspedisi berlangsung. -Reuters

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.