
KUALA TERENGGANU , 25 Mei – Jabatan Pengangkutan Jalan, JPJ Terengganu mengesan trend membimbangkan dalam kalangan anak muda yang gagal membawa kad pengenalan dan lesen memandu ketika menggunakan motosikal.
- Trend membimbangkan: ramai anak muda enggan membawa MyKad dan lesen memandu ketika menunggang motosikal.
- Taktik dipercayai digunakan bagi mengelakkan pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan semasa operasi jalan raya.
- Sikap ini menyukarkan tugas penguatkuasa dan mencerminkan sikap sambil lewa dalam kalangan generasi muda.
- JPJ menasihatkan belia mematuhi undang-undang jalan raya termasuk membawa lesen sah, kad pengenalan dan memakai topi keledar.
Taktik itu dipercayai digunakan bagi mengelak tindakan penguatkuasaan semasa operasi dijalankan.
Pengarah JPJ Terengganu Mohd Zamri Samion berkata, trend berkenaan dikesan sepanjang Ops Motosikal dijalankan, di mana kebanyakan penunggang muda memberi pelbagai alasan termasuk
mendakwa terlupa membawa dokumen pengenalan diri.
“Kita dapat lihat ada beberapa trend di kalangan orang-orang muda di Kuala Terengganu khususnya, apabila kita menahan mereka melibatkan isu-isu insuran ini, mereka menafikan keadaan ataupun keberadaan lesen memandu dan juga kad pengenalan mereka.”
“Jadi dalam hal itu, kita lihat ada beberapa “trick”. Mereka seakan-akan enggan untuk disemak pemilikan lesen mereka. Jadi kita mengharapkan sikap ini dapat dielakkan dan mereka lebih serius berkaitan dengan membawa kad pengenalan dan lesen memandu khususnya lesen digital, ” katanya pada sidang media selepas melakukan tinjauan Ops Motosikal di sekitar bandar Kuala Terengganu.
Katanya lagi, sikap mereka bukan sahaja menyukarkan proses penguatkuasaan, malah mencerminkan sikap sambil lewa dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu sebanyak 4,774 motosikal diperiksa dan 333 diambil tindakan sepanjang tempoh Op dijalankan.
Antara kesalahan termasuk menunggang tanpa lesen sah, tidak memakai topi keledar serta kegagalan mematuhi spesifikasi kenderaan.
JPJ Teregganu menasihatkan pengguna jalan raya khususnya golongan belia mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelakkan tindakan tegas diambil.