
MEKAH, 22 Mei- Malaysia berada di landasan terbaik untuk muncul sebagai antara peneraju haji lestari dunia menerusi pelaksanaan inisiatif Haji Lestari (Green Hajj) oleh Lembaga Tabung Haji dengan kerjasama Arab Saudi.
- Inisiatif Haji Lestari menekankan penjagaan alam sekitar sebagai amanah bersama selain aspek ibadah.
- Pelaksanaan mencerminkan komitmen memperkukuh ekosistem pengurusan haji yang sistematik, lestari dan mesra alam.
- Langkah praktikal termasuk pengumpulan kain ihram terpakai dan penyediaan tong pengasingan sisa untuk amalan kitar semula.
- Program ini menyampaikan mesej bahawa kelestarian perlu diutamakan dalam pengurusan ibadah haji.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata inisiatif itu bukan sekadar menumpukan aspek ibadah, sebaliknya turut menekankan dimensi penjagaan alam sekitar sebagai amanah bersama umat manusia.
Menurut beliau, pelaksanaan Haji Lestari mencerminkan komitmen Malaysia dalam memperkukuh ekosistem pengurusan haji yang lebih sistematik, lestari dan mesra alam.
“Haji juga perlu mempunyai dimensi penjagaan alam sekitar, dan aspek itu merupakan amanah serta tanggungjawab seluruh umat manusia. Ibadah haji turut perlu ditekankan dari sudut kelestarian alam sekitar. Alhamdulillah, negara kita antara yang terkehadapan dengan menyediakan sistem serta inisiatif seperti pengitaran kain ihram. Ini membuktikan Malaysia antara peneraju dalam pengurusan haji,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Pelancaran Haji Lestari (Green Hajj) Musim Haji 1447H/2026M di Abraj Al Tayseer di sini, hari ini.
Tambah beliau, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk pengumpulan kain ihram terpakai selain penyediaan tong pengasingan sisa seperti kertas, plastik dan bahan buangan lain bagi membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan jemaah haji.
Jelasnya, usaha itu turut menyampaikan mesej bahawa ibadah haji juga mempunyai dimensi penjagaan alam sekitar yang perlu diberi perhatian dalam memastikan kelestarian pengurusan ibadah tersebut.