Cubaan seludup pelbagai barangan bernilai RM73.63 Juta tumpas

Pelbagai komoditi termasuk kenderaan mewah dan minuman keras pelbagai jenama dirampas JKDM Selangor

KLANG, 21 Mei – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Selangor menggagalkan cubaan penyeludupan pelbagai komoditi membabitkan nilai keseluruhan RM73.63 juta termasuk duti dan cukai dalam empat kes berasingan tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rampasan 87.42 juta batang rokok putih ditemui dalam 10 kontena, status transhipment namun tidak diikrarkan dalam manifes.
  • 76 kontena modul pusat data pasang siap di Zon Bebas Pelabuhan Klang diikrarkan dengan kod tarif tidak benar, mengurangkan duti dan cukai.
  • Tujuh kenderaan import disita selepas disimpan melebihi tempoh gudang berlesen dan gagal menjelaskan duti serta cukai.

Pengarah Kastam Selangor, Mohamad Azhar Ahmad Paharazi berkata, kes pertama dikesan pada 27 Januari lalu melibatkan 26,400 liter minuman keras jenis bir yang ditemukan di dalam sebuah kontena tanpa permit import sah.

“Jumlah keseluruhan termasuk duti dan cukai bagi kes ini dianggarkan bernilai RM940,896 dan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Beliau berkata, kes kedua pula melibatkan penahanan 76 kontena jenis modul pusat data pasang siap (Prefabricated Data Center Module) di kawasan Zon Bebas Pelabuhan Klang, awal April.

“Semakan mendapati pengikraran kod tarif yang dibuat adalah tidak benar serta membabitkan pengurangan duti dan cukai yang tinggi.

“Nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai bagi kes ini ialah RM4,726,571 dan disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Menurut beliau, kes ketiga pada 21 April pula membabitkan tujuh kenderaan import pelbagai jenama yang disimpan melebihi tempoh dibenarkan di gudang berlesen serta gagal menjelaskan duti dan cukai.

“Nilai keseluruhan bagi kes itu dianggarkan RM658,707. Semua kenderaan itu disitan dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, kes keempat pada 30 April melibatkan rampasan 87.42 juta batang rokok putih yang ditemukan dalam 10 kontena.

Kesemua kontena berkenaan berstatus pemindahan kargo (transhipment) namun tidak diikrarkan dalam manifes.

“Nilai keseluruhan termasuk duti dan cukai bagi kes ini dianggarkan RM67,313,400,” kata Mohamad Azhar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.