Malaysia tidak berada pada tahap amaran tinggi Ebola

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib melawat reruai sempena Health Summit Asia 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 Mei– Malaysia tidak berada pada tahap amaran tinggi terhadap penularan Ebola meskipun wabak itu kembali mendapat perhatian di beberapa negara Afrika.

RINGKASAN BERITA AI
  • KKM membuat persediaan awal termasuk kenal pasti proses perolehan dan logistik sekiranya vaksin Ebola diperlukan.
  • Vaksin Ebola masih belum didaftarkan di Malaysia sekarang.
  • KKM memantau pesakit bergejala luar biasa, termasuk individu dari luar negara, dan berhubung dengan klinik serta hospital.
  • Tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia setakat ini; WHO isytihar wabak di DR Congo dan Uganda sebagai darurat kesihatan awam.

Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) sedia membuat persediaan awal termasuk mengenal pasti proses perolehan dan logistik sekiranya vaksin Ebola diperlukan pada masa depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Hanifah Hajar Taib memaklumkan, vaksin Ebola masih belum didaftarkan di Malaysia ketika ini.

“Kita tidak berada dalam keadaan amaran tinggi dan tidak mahu masyarakat berada dalam keadaan takut kerana situasi ketika ini masih terkawal.

Bagaimanapun, KKM terus memantau sekiranya terdapat pesakit yang mempunyai gejala luar daripada kebiasaan termasuk melibatkan individu dari luar negara,” katanya.

Beliau ditemui selepas Majlis Pelancaran Health Asia Summit 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, hari ini.

Katanya, KKM turut berhubung rapat dengan klinik kesihatan, hospital kerajaan dan swasta bagi memantau sebarang kes yang mencurigakan.

Terdahulu, KKM dalam kenyataan hari ini memberitahu, tiada kes Ebola dilaporkan di Malaysia setakat ini.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Ahad mengisytiharkan wabak Ebola di Republik Demokratik Congo (DR Congo) dan Uganda sebagai darurat kesihatan awam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.