
KEMAMAN, 20 Mei – Lebih 400,000 kenderaan dijangka masuki Terengganu sempena sambutan Hari Raya Aidiladha dan cuti persekolahan yang bermula Jumaat ini hingga 3 Jun.
- Polis jangka peningkatan aliran trafik di LPT2 dan jalan-jalan utama negeri.
- Arahan kepada polis daerah memastikan perjalanan teratur dan aliran trafik lancar sepanjang tempoh perayaan.
- Anggota ditempatkan di kawasan hotspot yang sering berlaku kesesakan dan kemalangan serta melaksanakan Op Lancar.
- Seramai 500 anggota dan pegawai polis dari semua daerah ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata jumlah tersebut melibatkan kenderaan yang menggunakan jalan persekutuan dan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) yang dianggarkan purata kemasukan trafik harian mencecah hingga 34,000 kenderaan sepanjang tempoh berkenaan.
Menurutnya, jangkaan itu dibuat berdasarkan pemantauan tahunan yang dilakukan secara kolaboratif bersama pihak LPT2 berdasarkan data dan rekod tahunan.
“Jumlah peningkatan aliran trafik ini dijangka berlaku di LPT2 dan jalan-jalan utama di negeri ini. Saya memberi peringatan kepada semua polis daerah memastikan perjalanan kenderaan dalam keadaan teratur dan aliran trafik lancar,” jelas beliau.
Di samping itu, pihaknya juga menempatkan anggota di kawasan ‘hotspot’ tertentu yang sering berlaku kesesakan kenderaan serta kemalangan, di samping akan melaksanakan Op Lancar secara menyeluruh di lokasi berkenaan.
Menurut Datuk Mohd Khairi lagi, seramai 500 anggota dan pegawai polis dari semua daerah akan ditugaskan bagi memastikan keselamatan dan kelancaran trafik terkawal sepanjang tempoh perayaan itu.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Transformasi Pelajar Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai di sini.
Hadir sama Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Kamsah@Kamal Mohamed dan Pegawai Pendidikan Daerah Tengku Shahrir Tengku Dahlan.