
TENGKERA, 20 Mei – Badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi swasta disaran memainkan peranan lebih aktif dalam memberikan sokongan kepada golongan wanita yang menjadi mangsa jenayah, khususnya dari aspek perlindungan, pemulihan dan kesedaran keselamatan.
- JPW melaksanakan pelbagai program advokasi untuk meningkatkan tahap kesedaran keselamatan dalam kalangan wanita.
- Usaha berterusan bertujuan mengekang jenayah yang menyasarkan wanita serta memperkukuh pengetahuan dan kesiapsiagaan mereka.
- Aspek pencegahan diutamakan walaupun kes keganasan rumah tangga dan kes seksual terus wujud.
- Mangsa diberi sokongan termasuk kaunseling serta panduan tindakan yang perlu diambil selepas kejadian.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, kementerian menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) telah melaksanakan pelbagai program advokasi berkaitan keselamatan wanita bagi meningkatkan tahap kesedaran dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan wanita.
Usaha berterusan itu dilihat sebagai usaha mengekang kes jenayah yang menyasarkan wanita sebagai mangsa selain memperkukuh pengetahuan dan kesiapsiagaan wanita dalam menghadapi sebarang risiko keselamatan.
“Dari segi ini, kes sebenarnya tidak kira sama ada melibatkan keganasan rumah tangga atau kes seksual, memang kes seperti ini wujud. Namun bagi kami, aspek pencegahan adalah keutamaan pertama.
“Jadi, pelbagai program advokasi telah kita laksanakan, dan dalam masa yang sama kita juga perlu bersedia sekiranya perkara itu benar-benar berlaku, untuk memberikan bantuan yang sewajarnya.
“Mereka boleh mendapatkan kaunseling serta panduan tentang tindakan yang perlu diambil selepas itu. Sudah tentu, selain pencegahan, kita juga menyediakan sokongan apabila diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ziarah Kasih WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, di sini.