
TENGKERA, 20 Mei – Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) yang dilaksanakan di Melaka berjaya mencapai misi menyantuni rakyat yang memerlukan, selain memperkukuh ketelusan dalam pemberian bantuan.
- Menjadi platform penghubung wakil rakyat dan agensi untuk mendalami masalah rakyat secara lebih jelas.
- Memberi perhatian kepada keluarga perlu, termasuk ibu tunggal, menghadapi cabaran kewangan dan kos sara hidup.
- Menggalakkan ketelusan dan kerjasama antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan sebagai contoh agensi lain dalam penyaluran bantuan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, program berkenaan menjadi platform penghubung wakil rakyat serta membolehkan jabatan dan agensi berkaitan mendalami dengan lebih jelas masalah yang dihadapi rakyat.
“Jadi ini merupakan satu peluang yang amat baik untuk menyantuni keluarga-keluarga yang berdepan pelbagai cabaran termasuk kewangan dan kos sara hidup. Turut diberi perhatian ialah golongan ibu tunggal serta keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan.
“Saya melihat program ini amat bermakna dan benar-benar dekat dengan rakyat, kerana ia turun terus ke akar umbi dalam menyantuni keluarga yang memerlukan perhatian.
“Saya juga ingin merakamkan terima kasih kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Melaka. Kita tidak boleh melihat Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan bergerak secara berasingan, sebaliknya kita perlu bergerak bersama-sama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Ziarah Kasih WRUR Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Laksamana, di sini.
Mengulas lanjut, inisiatif berkenaan wajar dijadikan contoh agensi kerajaan lain dalam usaha memastikan penyaluran bantuan dan sumbangan dapat dilaksanakan dengan lebih telus, teratur serta berkesan, sekali gus memperkukuh penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Program berkenaan turut dihadiri Exco Pembangunan Wanita Keluarga dan Komuniti Melaka Datuk Kalsom Nordin.