
KAJANG, 20 Mei – Kempen “Kajang Bersih, Kajang Di Hatiku” (KBKD 4.0) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang 2026 menyemarakkan kepentingan mengamalkan kebersihan, pendidikan nilai serta kesedaran dalam kalangan generasi muda.
- Program menekankan kebersihan pelajar SMK Tinggi Kajang serta pemupukan kepimpinan dan semangat patriotisme.
- Pendidikan ditekankan bukan sekadar akademik tetapi membentuk nilai hormat, ihsan dan tanggungjawab.
- Belia diingatkan berhati-hati menerima maklumat di media sosial yang mudah disalahgunakan dan menyebar berita palsu.
- Program disertai MBI, Pejabat Pendidikan Hulu Langat, PDRM dan Jabatan Penjara melalui pameran ekonomi dan aktiviti kesedaran komuniti.
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata program kali ini menumpukan kepada elemen menjaga kebersihan di kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Kajang termasuk semangat kepimpinan tinggi dan pemupukan patriotisme dalam diri.
“Peluang ini sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh setiap daripada kita dalam usaha untuk terus memperbaiki dan meningkatkan kualiti kehidupan kita dengan memberi perhatian dalam soal pendidikan,” jelasnya ketika berucap pada majlis penutup program tersebut di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan golongan muda supaya lebih berhati-hati dalam menerima maklumat di media sosial yang terdedah kepada penyebaran berita palsu dan kandungan sensasi.
“Cabaran dia di dalam kita ini mudah terpengaruh ataupun mudah menerima maklumat yang disalurkan kepada kita melalui platform media sosial. Hari ini orang ukur kebenaran dengan berapa banyak ‘likes, views dan shares’ tetapi kita tak tahu sama ada maklumat itu betul ataupun tidak,” tegasnya.
Menurut beliau, pendidikan bukan sekadar mengejar keputusan akademik tetapi perlu membentuk nilai hormat, ihsan dan tanggungjawab dalam masyarakat.
Program berkenaan turut disertai pelbagai agensi antaranya Menteri Besar Incorporated (MBI), Pejabat Pendidikan Daerah Hulu Langat, PDRM serta Jabatan Penjara Malaysia menerusi pameran ekonomi kenegaraan dan aktiviti kesedaran komuniti.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah ADUN Kajang Cheong Kian Young.