
PUTRAJAYA, 20 Mei – Dua laporan polis telah dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh terhadap pihak yang didakwa menyebarkan fitnah berhubung isu pertukaran status tanah di Taman Segar, Cheras.
- Hannah berkata dakwaan pertukaran status tanah tidak berasas dan beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang.
- Beliau menegaskan tidak terlibat dalam jawatankuasa menukar pajakan kepada pegangan bebas.
- Isu itu dimainkan dengan sentimen kaum; beliau menunjukkan siaran langsung, kenyataan media dan laporan berita.
Beliau menyifatkan dakwaan berkenaan tidak berasas dan sedang mempertimbang tindakan undang-undang seterusnya.
“Ini semua adalah fitnah kerana ketika kami hadir di Taman Segar untuk mengadakan sidang media berhubung pewartaan padang untuk kegunaan orang awam, terdapat saksi yang bersama saya.
Saya tidak terlibat langsung dalam jawatankuasa tanah untuk menukar status pajakan (leasehold) kepada pegangan bebas (freehold). Jelas ini merupakan satu fitnah,” jelasnya.
Tegas beliau, isu terbabit terus dimainkan dengan sentimen kaum dan ia adalah satu pembohongan.
“Kami mempunyai siaran langsung menerusi Facebook, kenyataan media serta laporan berita yang telah diterbitkan. Perkara ini tidak pernah diumumkan di Taman Segar, Cheras,” katanya pada sidang media opsyen pemanjangan tempoh sah laku lesen perniagaan berstatus lesen tetap di sini.
Terdahulu, Penyelidik Akademi Tamadun Alam Melayu, Zaharah Sulaiman mempersoalkan tindakan Hannah yang didakwa telah menukar status perumahan di Taman Segar daripada pajakan kepada pegangan bebas dalam tempoh yang singkat.