
DURIAN DAUN, 19 Mei – Semua pusat perlindungan dan Taman Asuhan Kanak-kanak (TASKA) di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai salah satu syarat utama.
- CCTV meningkatkan tahap keselamatan dan membantu mencegah kejadian buli serta penderaan.
- Kehadiran CCTV memberi kesedaran kepada petugas dan penghuni, memerlukan pemantauan dan rondaan berterusan.
- JKM menjalankan advokasi, galakan pendaftaran TASKA dan pemutihan sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk memantau pematuhan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Lim Hui Ying berkata langkah itu bagi meningkatkan tahap keselamatan serta mencegah kejadian buli dan penderaan.
Beliau berkata, pemasangan CCTV di premis bukan sahaja bertujuan memantau keadaan semasa, malah turut berfungsi sebagai langkah pencegahan kerana penghuni dan petugas sedar setiap pergerakan diperhatikan.
“Jadi, petugas perlu sentiasa memantau dan melakukan rondaan. Kita berusaha sedaya upaya untuk mengurangkan kejadian buli. Paling penting ialah mangsa perlu berani tampil membuat laporan kepada petugas, warden atau penghuni lain di rumah perlindungan sekiranya mereka menjadi mangsa buli. Jika laporan diterima, kita akan memastikan pemantauan dilakukan secara teliti”, katanya.
Mengulas mengenai isu TASKA tidak berdaftar, beliau berkata pihaknya sentiasa menjalankan pendekatan advokasi dan turun padang untuk memastikan pengusaha tampil mendapatkan kelulusan rasmi.
Ia penting bagi memastikan pusat berkenaan mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan.
Proses pemutihan juga dilakukan secara berterusan sekurang-kurangnya dua kali setahun sebagai usaha memastikan tiada pelanggaran standard piawaian dan undang-undang berlaku.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Lawatan Kerja ke Rumah Kasih Tun Abdul Aziz di Durian Daun, Melaka.