Inisiatif Mediasi MADANI selesai kes komersial dalam tempoh lima hari – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said semasa pelancaran Inisiatif Mediasi Komersial Pro Bono Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia 2026 di Auditorium AIAC/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei Pertikaian komersial bernilai RM250,000 dan ke bawah disasarkan dapat diselesaikan dalam tempoh kurang lima hari menerusi inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono yang dilancarkan hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono dilancarkan di bawah Pusat Mediasi MADANI di AIAC.
  • Melibatkan 26 jenis pertikaian komersial termasuk perkhidmatan, pembekalan, jual beli, hartanah, e-dagang dan ekonomi digital.
  • Terbuka kepada semua rakyat Malaysia tanpa syarat kelayakan; pemohon layak menikmati pengecualian penuh fi, kos pentadbiran dan bayaran pengantara.
  • Seramai 173 pengantara tempatan dan antarabangsa menyertai secara sukarela, menawarkan perkhidmatan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, kerajaan mahu rakyat dan perusahaan kecil memperoleh penyelesaian lebih cepat tanpa perlu menunggu proses mahkamah yang mengambil masa bertahun-tahun.

“Kalau boleh saya mahu kurang daripada lima hari, malah kalau boleh selesai dalam tempoh tiga hari sekiranya semua pihak bersetuju untuk bertemu dan menjalani proses pengantaraan.

“Kalau di mahkamah, ada kes mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan dan kita tidak boleh memaksa mahkamah mempercepatkan pendengaran,” kata beliau selepas melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono di bawah Pusat Mediasi MADANI di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Beliau berkata, inisiatif berkenaan melibatkan 26 jenis pertikaian komersial termasuk perkhidmatan, pembekalan, jual beli, hartanah, e-dagang dan ekonomi digital.

“Saya telah membincangkan perkara ini dengan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri bulan lepas kerana kita melihat banyak pertikaian berlaku susulan cabaran ekonomi semasa, termasuk kenaikan harga yang menyebabkan kontrak asal berubah dan akhirnya mencetuskan perselisihan antara pihak terlibat.

“Antara kes yang kerap berlaku melibatkan anak muda yang menyediakan perkhidmatan seperti fotografi perkahwinan, katering dan pemindahan barang tetapi tidak menerima bayaran kerana dipandang rendah akibat tidak mempunyai syarikat besar atau kedudukan kukuh,” jelasnya.

Menurutnya, rakyat tidak perlu memenuhi syarat kelayakan tertentu seperti bantuan guaman kerana kemudahan itu terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai pertikaian komersial yang sah.

Katanya, pemohon layak akan menikmati pengecualian penuh fi pemfailan, kos pentadbiran dan bayaran pengantara selain akses kepada fasiliti fizikal serta maya AIAC secara percuma.

Beliau berkata, walaupun hanya satu pihak membuat permohonan, AIAC boleh menghubungi pihak satu lagi bagi menawarkan proses mediasi untuk penyelesaian secara bersama dan sulit.

Setakat ini, seramai 173 pengantara tempatan dan antarabangsa menyertai inisiatif berkenaan secara sukarela, dengan perkhidmatan disediakan dalam Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.