
KUALA LUMPUR, 22 Mei – Tahap kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus menunjukkan peningkatan apabila Malaysia disenaraikan sebagai negara ketujuh paling dipercayai di dunia menerusi laporan Edelman Trust Barometer 2026.
- Indeks kepercayaan meningkat kepada 71 mata tahun ini, naik daripada 66 mata pada 2025.
- Pengiktirafan mencerminkan keyakinan rakyat dan antarabangsa terhadap tadbir urus, hala tuju ekonomi dan komitmen pembangunan inklusif.
- Kerajaan MADANI kekal komited kepada ketelusan, akauntabiliti dan dasar berteraskan rakyat untuk mengekalkan kepercayaan awam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, Indeks Kepercayaan Malaysia meningkat kepada 71 mata tahun ini berbanding 66 mata pada 2025.
Menurut beliau, pencapaian itu meletakkan Malaysia antara negara terbaik dunia dari segi keyakinan rakyat terhadap kerajaan, sektor perniagaan, media dan institusi bukan kerajaan (NGO).
Katanya, pengiktirafan tersebut mencerminkan keyakinan rakyat serta masyarakat antarabangsa terhadap tadbir urus, hala tuju ekonomi dan komitmen negara dalam memastikan pembangunan yang inklusif.
“Pengiktirafan ini bukan sekadar angka, sebaliknya menggambarkan keyakinan rakyat terhadap institusi dan kepimpinan negara.
“Ia membuktikan usaha memperkukuh tadbir urus, kestabilan ekonomi dan keharmonian sosial membuahkan hasil positif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Nga, Kerajaan MADANI akan terus menegakkan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan dasar berteraskan rakyat bagi memastikan kepercayaan awam kekal menjadi asas kemajuan negara.
Beliau berkata, ketika banyak negara berdepan peningkatan polarisasi dan ketidaktentuan, kedudukan Malaysia dalam kalangan negara paling dipercayai di dunia membuktikan kekuatan negara dalam memelihara perpaduan dalam kepelbagaian.
Dalam pada itu, beliau berkata laporan tersebut turut menjadi peringatan kepada semua pihak untuk terus memupuk persefahaman, keterangkuman serta wacana awam yang bertanggungjawab demi mengekalkan keharmonian dan kemakmuran negara dalam jangka panjang.