22,136 aksesori motosikal ubah suai dirampas di Kedah sejak 2024

Foto RTM

KEDAH, 22 Mei – Sebanyak 22,136 aksesori motosikal yang diubah suai secara tidak sah dirampas di Kedah sejak tahun 2024 hingga kini menerusi pelaksanaan Op Khas Motosikal atau Op Samseng Jalanan.

RINGKASAN BERITA AI
  • JSPT Kedah jalankan Op Khas Motosikal membanteras pengubahsuaian tidak sah dan kegiatan samseng jalanan.
  • Rampasan paling banyak melibatkan ekzos diikuti swing arm; komponen lain termasuk karburator, ECU dan pelindung rantai tidak dipasang.
  • Kebanyakan pelaku ialah remaja berumur 16 hingga 30 tahun; aktiviti ini membahayakan dan mengganggu ketenteraman awam.
  • PDRM bertindak tegas: tindakan undang-undang, pengesanan pemilik, pemeriksaan bengkel, pelupusan 1,249 komponen dengan jentera penggelek.

Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kontinjen Kedah di beberapa daerah bagi membanteras kegiatan samseng jalanan yang semakin membimbangkan.

Ketua JSPT Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, Superintendan Abdel Nasser Salleh berkata, antara kesalahan utama dikesan adalah pengubahsuaian ekzos, struktur motosikal serta komponen seperti karburator dan ECU selain kegagalan memasang pelindung rantai.

“Pengubahsuaian ekzos mencatatkan jumlah rampasan tertinggi iaitu sebanyak 11,015 unit, diikuti komponen swing arm sebanyak 6,205 unit.

“Kebanyakan individu yang terlibat dalam aktiviti rempit terdiri daripada golongan remaja berusia antara 16 hingga 30 tahun,” katanya.

Beliau menegaskan, kegiatan samseng jalanan merupakan kesalahan serius yang boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan, Seksyen 279 Kanun Keseksaan serta Seksyen 81(3) akta sama berkaitan sekatan ke atas pertandingan dan ujian kelajuan.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak terlibat dalam aktiviti rempit kerana ia bukan sahaja membahayakan diri sendiri, malah mengganggu ketenteraman awam.

“Semua pengguna jalan raya perlu mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta menggunakan aksesori kenderaan mengikut piawaian. PDRM akan bertindak tegas tanpa kompromi dan akan mengesan pemilik motosikal yang diubah suai ini hingga ke rumah dan tempat kerja, selain membuat pemeriksaan di bengkel yang disyaki menjalankan pengubahsuaian tidak sah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelupusan 1,249 komponen motosikal bernilai kira-kira RM300,000 di Perkarangan Perumahan Lama Balai Polis Baling, hari ini.

Pelupusan itu melibatkan komponen seperti ekzos, swing arm, enjin, karburator, ECU dan tayar yang tidak mengikut spesifikasi, selepas mendapat perintah Mahkamah di bawah Seksyen 407 Kanun Prosedur Jenayah.

Kesemua barangan tersebut dilupuskan menggunakan kaedah gelek dengan jentera penggelek jalan (steamroller).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.