
SEPANG, 18 Mei – Lapan rakyat Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 disahkan telah ditahan tentera rejim Zionis Israel (IOF) selepas beberapa kapal flotila dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus, hari ini.
- Insiden berlaku antara pukul 1500 hingga 1800 waktu Malaysia sekitar 241 batu nautika dari Gaza dalam perairan antarabangsa dilindungi UNCLOS.
- SNCC mengesahkan 11 kapal flotila dipintas dan diceroboh oleh IOF yang menggunakan bot RIBS serta diiringi dua kapal perang dan sebuah kapal tahanan.
- Komunikasi dan CCTV kapal didakwa dipadam atau rosak; 41 kapal masih meneruskan pelayaran berisiko tinggi. SNCC menyeru solat, qunut nazilah dan penyebaran maklumat sahih.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Centre (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Halim Araby berkata, insiden bermula antara pukul 3.00 hingga 6.00 petang waktu Malaysia ketika kapal-kapal flotila berada kira-kira 241 batu nautika dari pantai Gaza di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi undang-undang maritim antarabangsa yang termasuk dalam Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNCLOS).
“SNCC mengesahkan sekurang-kurangnya lima (5) buah kapal melibatkan lapan (8) rakyat Malaysia telah terkesan dalam insiden tersebut.
“SNCC mengesahkan 11 kapal flotila telah dipintas, diceroboh dan dikenakan tindakan gangguan langsung oleh pihak IOF antaranya kapal Cactus, Zeo Faster, Holy Blue, Feluto, Kriakos, Amanda, Blue Toys, Barbaris, Isabella, TENAS dan Joseph,” katanya pada sidang media tergempar perkembangan terkini misi itu, hari ini.
Beliau berkata, pihak IOF melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa bot laju jenis Rigid Inflatable Boats (RIBS), selain mengesan kehadiran dua kapal perang dan sebuah kapal tahanan berhampiran kawasan operasi flotila.
Menurut beliau, antara rakyat Malaysia yang disahkan ditahan ialah aktivis kemanusiaan Zainal Rashid Ahmad atau ZRA yang menaiki kapal Amanda.
Turut ditahan Muhamad Muhsin Zaidi di atas kapal Isobella, selain Mohammad Shazly Mohammad Shees dan Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari yang menaiki kapal Cactus.
Bagi kapal Ferluto pula, mereka yang ditahan ialah Patmanathan Sivasamy, Dr Syakirin Muhamed Senin dan Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar.
SNCC turut mengesahkan delegasi Malaysia Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman yang menaiki kapal Josef juga ditahan pihak IOF.
Selain rakyat Malaysia, dua delegasi antarabangsa turut disahkan ditahan iaitu Senator Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad dari Pakistan dan Andi Anga Prasadewa dari Indonesia di atas kapal Josef.
Datuk Sani Araby berkata, ketika ini sebanyak 41 kapal flotila termasuk yang membawa 21 rakyat Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju ke Gaza dalam keadaan berisiko tinggi susulan ancaman pemintasan dan tindakan agresif berterusan pihak IOF.
“Kita lihat kali ini mereka melakukan tindakan secara sengaja. Setelah diberikan peringatan dan ugutan di peringkat dunia untuk menghentikan sekatan, mereka masih melakukan tindakan ini,” katanya.
Menurut beliau, peserta yang telah ditahan dipercayai terputus hubungan selepas sistem komunikasi dan CCTV di kapal didakwa dipadam serta dirosakkan.
SNCC turut menyeru rakyat Malaysia dan masyarakat antarabangsa untuk terus mengadakan solat hajat, bacaan qunut nazilah serta menyebarkan maklumat sahih berhubung misi kemanusiaan berkenaan.