Hormati mandat rakyat, elak sengaja kosongkan kerusi parlimen – Azalina

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said bercakap kepada pemberita selepas pelancaran Inisiatif Mediasi Komersial Pro Bono Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Malaysia 2026 di Auditorium AIAC/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Mei – Ahli Parlimen dan wakil rakyat diingatkan supaya menghormati mandat yang diberikan oleh pengundi sebelum membuat sebarang keputusan politik peribadi, termasuk bertukar parti atau mengosongkan kerusi Parlimen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Azalina menyeru belas kasihan kepada pengundi; wakil rakyat harus kekal berkhidmat walaupun wujud ketidakpuasan.
  • Wakil yang berniat berhenti disaran menyelesaikan tempoh perkhidmatan sehingga Parlimen dibubarkan.
  • Pemimpin politik dinasihati terus fokus pada tanggungjawab dan khidmat kepada masyarakat sehingga Parlimen dibubarkan.
  • Kerjasama PH dan BN dilaporkan baik; gunakan klausa mediasi dalam perjanjian untuk menyelesaikan ketidakpuasan.

Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, tindakan sedemikian hanya merugikan rakyat yang telah melaksanakan tanggungjawab memilih wakil mereka pada pilihan raya.

“Saya tidak boleh memberikan respons kerana itu hak demokrasi masing-masing, namun kasihanilah rakyat dan pengundi yang mengharapkan wakil rakyat terus berada di lapangan untuk berkhidmat.

“Walaupun ada pihak yang tidak berpuas hati atau mempunyai alasan tertentu, saya berharap mana-mana wakil rakyat yang mempunyai niat sedemikian dapat menyelesaikan dahulu tempoh perkhidmatan kepada rakyat selagi Parlimen belum dibubarkan,” kata beliau kepada pemberita selepas melancarkan Inisiatif Pengantaraan Komersial Pro Bono di bawah Pusat Mediasi MADANI di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) di sini, hari ini.

Datuk Seri Azalina yang juga Ketua Penerangan UMNO turut menasihati pemimpin politik supaya terus memberi tumpuan kepada tanggungjawab dan khidmat kepada masyarakat selagi Parlimen belum dibubarkan.

Mengulas keharmonian dalam Kerajaan Perpaduan khususnya antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH), beliau berkata kerjasama antara kedua-dua gabungan itu berada dalam keadaan baik dan mesyuarat Kabinet berjalan lancar seperti biasa.

“Kita mempunyai klausa mediasi dalam perjanjian antara PH dan BN. Pada pandangan saya, mana-mana pihak yang tidak berpuas hati sepatutnya menggunakan klausa itu kerana ia merupakan perjanjian yang telah dipersetujui bersama,” jelasnya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.