
SERDANG, 18 Mei – Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2026 memberi tumpuan kepada pemodenan yang mengangkat tema “Penciptaan Nilai Demi Keterjaminan Makanan”.
- Penekanan kepada usaha meningkatkan nilai dalam keseluruhan rantaian agromakanan negara.
- Pendekatan moden dan inovasi dirancang untuk menarik penglibatan generasi muda serta meningkatkan hasil pengusaha.
- MAHA 2026 menyasarkan kehadiran, penglibatan pempamer, jualan langsung dan potensi pelaburan bagi galakkan pelaburan sektor.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, ia memberi penekanan kepada usaha meningkatkan nilai dalam keseluruhan rantaian agromakanan negara.
“Kita hendak menumpukan ke arah pemodenan supaya generasi muda akan lebih terlibat dan minat dalam pertanian ini, kerana dipersembahkan dalam bentuk apa-apa daripada dalam negeri atau luar negara tentang pemodenan dalam bidang pertanian ini dan ianya membawa satu penghasilan yang baik kepada pengusahanya”, katanya.
Tema itu juga selaras dengan aspirasi negara untuk membangunkan ekosistem agromakanan yang berdaya tahan, berasaskan teknologi dan berimpak tinggi.
MAHA 2026 yang dijadual berlangsung dari 28 Ogos hingga 6 September 2026 menyasarkan kehadiran seramai empat juta pengunjung, penglibatan 2,000 pempamer dari dalam dan luar negara, nilai jualan langsung sekurang-kurangnya RM55 juta dan potensi pelaburan bernilai RM8 bilion.
Datuk Seri Mohamad Sabu ditemui pada Program Hi-Tea Bersama Para Penaja Berpotensi, menerusi sesi ‘Pitch and Connect@MAHA2026 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor.