
KUALA LUMPUR, 18 Mei– Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab rejim Israel yang memintas flotila kemanusiaan ke Gaza serta menahan lebih 100 aktivis keamanan, termasuk 16 warga Malaysia.
- Perdana Menteri mengecam tindakan melampau Israel yang mencabuli hak asasi dan undang-undang antarabangsa.
- Menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis yang ditahan.
- Menggesa masyarakat antarabangsa supaya tidak berkompromi atau tunduk kepada kezaliman Israel.
- Menegaskan penindasan mesti dihentikan serta-merta dan rejim perlu dihadapkan ke muka pengadilan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa tindakan melampau tersebut bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia dan undang-undang antarabangsa, malah jelas memperlihatkan kerakusan rejim itu dalam menyekat bantuan kritikal kepada rakyat Palestin.
“Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan tersebut dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera kesemua aktivis yang ditahan,” kata beliau menerusi satu hantaran di laman Facebook rasminya, hari ini.
Beliau turut menyeru masyarakat antarabangsa agar tidak lagi berkompromi atau tunduk kepada kezaliman Israel.
Tegasnya, penindasan ke atas warga Palestin serta delegasi kemanusiaan mesti dihentikan serta-merta bagi memastikan rejim berkenaan dihadapkan ke muka pengadilan.