
SEREMBAN, 22 Mei – Malaysia menegaskan komitmennya untuk terus memperkukuh kerjasama negara-negara Selatan Global menerusi platform BRICS, dalam usaha memastikan kestabilan ekonomi serta kesejahteraan rakyat terus terpelihara.
- Penyertaan BRICS bukan untuk mencetuskan persaingan kuasa tetapi memperkukuh suara negara membangun dalam ekonomi dunia.
- BRICS membuka ruang kerjasama ekonomi untuk memaksimumkan potensi pertumbuhan negara-negara Selatan Global secara kolektif.
- Malaysia komited memperluas hubungan strategik dengan anggota BRICS bagi memperkukuh perdagangan, pelaburan dan kerjasama pelbagai hala.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, penyertaan dalam blok tersebut bukan bertujuan mencetuskan persaingan kuasa, sebaliknya sebagai langkah memperkukuh suara negara membangun dalam landskap ekonomi dunia yang semakin mencabar.
“Penubuhan BRICS membuka ruang luas kepada negara-negara Selatan Global untuk mempertingkatkan kerjasama ekonomi selain memaksimumkan potensi pertumbuhan masing-masing secara kolektif.
“Ia bagi memastikan negara-negara Selatan Global tidak terus ditekan atau tercicir. Kita mahu menjadi kumpulan negara yang menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi dunia,” katanya kepada media selepas merasmikan Kejohanan Olahraga SMK Seri Sendayan 2026 di sini.
Tambah beliau, BRICS yang dianggotai Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan kini menyumbang hampir 30 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global, sekali gus mencerminkan pengaruh besar blok berkenaan dalam ekonomi antarabangsa.
Dalam masa sama, Mohamad menegaskan pendekatan kerjasama melalui platform tersebut penting bagi memastikan negara-negara membangun tidak terus terpinggir dalam arus geopolitik semasa.
Terdahulu, Malaysia turut menyatakan komitmen untuk memperluas hubungan strategik bersama negara anggota BRICS, selaras dengan usaha memperkukuh perdagangan, pelaburan serta kerjasama pelbagai hala demi manfaat bersama.